• 2025-07-25 08:08 PM

SIBU: Sebanyak tujuh rumah musnah dalam kejadian kebakaran di Kampung Hilir di sini pagi tadi, menjadikannya insiden kedua di kawasan sama dalam tempoh 10 bulan.

Ketua Zon 4 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Andy Alie, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.13 pagi. Pasukan operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Sibu Sentral, Sungai Merah, dan Sibu Jaya dengan 25 anggota digerakkan ke lokasi.

“Lima rumah tidak kekal, termasuk sebuah rumah tidak berpenghuni, musnah sepenuhnya. Dua lagi rumah terbakar 20 peratus, manakala enam rumah berhampiran berjaya diselamatkan,“ jelas Andy.

Seramai 66 penduduk selamat, dan kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada 9.10 pagi. Operasi pemadaman ditamatkan pada 12 tengah hari, namun punca kebakaran dan jumlah kerugian masih disiasat.

Pada September tahun lalu, 15 rumah di kawasan sama musnah dalam kebakaran, menyebabkan 150 penduduk kehilangan tempat tinggal. - Bernama