KUALA LUMPUR: Sehari selepas titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengenai tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat di negara ini, pentadbiran kerajaan berjalan seperti biasa, namun beberapa parti politik masing-masing mengadakan mesyuarat khas.

Perhatian bermula dengan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di bangunan Perdana Putra di Putrajaya pada 9.20 pagi dan mengadakan perjumpaan dengan beberapa pemimpin parti, dan antara yang dilihat memasuki bangunan itu ialah Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Presiden MIC Tan Sri S A Vigneswaran.

Perdana Menteri kemudian mempengerusikan mesyuarat khas Jemaah Menteri pada 11.30 pagi dan pada sebelah petang urusan pentadbiran kerajaan terus berjalan seperti biasa dengan Muhyiddin mempengerusikan mesyuarat harian Majlis Keselamatan Negara.

Muhyiddin dalam satu kenyataan semalam berkata jemaah menteri mengambil maklum titah Seri Paduka dan Jemaah Menteri akan berbincang dengan lebih lanjut berhubung titah itu.

Yang di-Pertuan Agong menerusi kenyataan Istana Negara semalam bertitah tiada keperluan untuk darurat diisytiharkan dan menyeru rakyat, tanpa mengira latar belakang dan fahaman politik, mengetepikan segala perbezaan dan perbalahan untuk bersatu padu serta bersatu hati, memainkan peranan membantu kerajaan dan pihak berkuasa membendung wabak Covid-19 demi keselamatan diri dan kesejahteraan negara.

Namun di ibu negara, perkembangan politik agak panas apabila beberapa parti politik dilihat mencatur langkah, mengadakan mesyuarat kepimpinan parti masing-masing, ada yang secara perjumpaan dan ada yang dalam talian.

Antaranya Barisan Nasional (BN) yang mengadakan pertemuan di Menara Dato’ Onn, PKR pula mengadakan mesyuarat secara dalam talian manakala UMNO dijadual mengadakan mesyuarat Majlis Tertinggi di Pusat Dagangan Dunia Putra malam ini.

Perhatian kini tertumpu kepada UMNO, yang mempunyai 39 Ahli Parlimen, dan merupakan sebahagian daripada blok kerajaan yang dilihat akan menjadi penentu kedudukan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Kita sekadar membuat percambahan fikiran, mendengar pandangan dalam kalangan ahli Parlimen dan sebagai ahli parti kita tertakluk kepada keputusan parti.

“Kita pegang pada prinsip macam mana pun UMNO tidak boleh berpecah. UMNO mesti bertindak sebagai satu blok, ini satu daripada pandangan yang boleh dikatakan didukung oleh semua pihak,“ kata Datuk Seri Najib Tun Razak, yang merupakan Pengerusi Lembaga Penasihat BN kepada pemberita selepas pertemuan di Menara Dato’ Onn.

Di sebalik pelbagai spekulasi di media sosial berhubung situasi politik semasa negara susulan titah Yang di-Pertuan Agong itu, hebahan harian mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi menangani pandemik Covid-19 oleh Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berjalan seperti biasa meskipun agak lewat.

Antara pengumuman penting adalah PKP Bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya dilanjutkan dua minggu sehingga 9 Nov manakala penguatkuasaan PKPB di Zon Nilai, Sembilan dan PKP Diperketatkan (PKPD) di Putra Point Nilai, Negeri Sembilan.

Di Sabah, PKPD di Taman Khazanah Indah dan Pangsapuri Mutiara Kasih di Lahad Datu serta Felda Umas di Kalabakan juga dilanjutkan. PKPD turut dikuatkuasakan di Taman Mesra dan Taman Mawar, Sandakan.

Sidang media oleh Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham juga diadakan seperti biasa. Kes baharu jangkitan Covid-19 hari ini mencatatkan empat angka iaitu 1,240, kes harian tertinggi sejak permulaan pandemik di Malaysia. Tujuh kematian dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan kini 236 kes.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong mengadakan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu bagi memperhalusi permohonan melaksanakan Darurat Perkara 150(1) dan Pemasyhuran Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu 2020) menurut Perkara 150(2B) Perlembagaan Persekutuan yang dipersembahkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi menangani pandemik Covid-19.

Seri Paduka merasakan kerajaan sekarang telah berjaya menangani wabak Covid-19 ini dengan baik dan berkesan. — Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image