KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini membenarkan permohonan pengasas FashionValet Sdn Bhd (FashionValet) Datin Vivy Yusof dan suaminya Datuk Fadzarudin Shah Anuar untuk mendapatkan pasport antarabangsa buat sementara bagi membolehkan mereka menunaikan umrah.

Hakim Rosli Ahmad memutuskan demikian selepas peguam Ashok Athimulan yang mewakili pasangan itu memohon untuk mendapatkan pasport berkenaan hari ini hingga 15 Jan, dan ia tidak dibantah oleh pihak pendakwaan.

“Mahkamah membenarkan permohonan itu dan pasport diserahkan kepada kedua-dua pemohon hari ini dan dikembalikan kepada mahkamah 15 Jan depan,” katanya.

Terdahulu Ashok berkata kedua-dua anak guamnya akan bertolak ke Arab Saudi untuk menunaikan umrah pada 5 Jan dan dijangka kembali ke Malaysia pada 14 Jan depan.

“Saya mohon pasport diserahkan hari ini kerana ketiadaan pasport menyukarkan mereka untuk melakukan tempahan dan sebagainya. Anak guam akan mengembalikan pasport kepada mahkamah pada 15 Jan depan,” kata peguam itu.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin tidak membantah perkara itu dan memaklumkan pasport perlu dikembalikan kepada mahkamah sebelum tarikh sebutan kes pada 22 Jan depan, namun beliau menyerahkan kepada budi bicara mahkamah.

Wan Shaharuddin turut bertanyakan kepada Fadzarudin sama ada perancangan untuk menunaikan umrah dibuat sebelum atau selepas beliau didakwa di mahkamah, Fadzarudin menjawab ia dibuat selepas pertuduhan dikenakan terhadapnya.

Vivy yang memakai baju serba putih bersama suaminya yang mengenakan sut berwarna kelabu, hadir pada prosiding itu.

Pada 5 Dis lepas, Vivy Yusof atau nama sebenarnya Vivy Sofinas Yusof, 37, dan Fadzarudin, 36, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan pecah amanah dana pelaburan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) berjumlah RM8 juta.

Mereka didakwa dengan niat bersama sebagai Pengarah FashionValet Sdn Bhd melakukan pecah amanah ke atas dana pelaburan Khazanah dan PNB yang diamanahkan kepada mereka dengan membuat pembayaran berjumlah RM8 juta daripada akaun bank milik syarikat FashionValet Sdn Bhd kepada syarikat 30 Maple Sdn Bhd tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah syarikat FashionValet.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad Cawangan Bukit Damansara, 36-40 Medan Setia 2, Plaza Damansara Bukit Damansara di sini, pada 21 Ogos 2018.

Pasangan itu dituduh mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan maksimum 20 tahun serta dengan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.