GEORGE TOWN: Seorang wanita ditemukan terdampar dalam keadaan masih bernyawa di tepi laut berhampiran Persiaran Karpal Singh di sini hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut Supt Lee Swee Sake berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada orang awam pada 1.48 tengah hari sebelum sepasukan polis bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati mangsa masih bernafas.

“Polis terus menghubungi ambulans bagi memberikan bantuan kecemasan sebelum wanita berusia 46 tahun itu dihantar ke Hospital Pulau Pinang.

“Mangsa masih dirawat di Zon Merah hospital itu dan polis belum dapat merekodkan keterangan mangsa bagi mengetahui punca sebenar kejadian kerana keadaannya masih tidak stabil,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau memaklumkan wanita warga Thailand tersebut berstatus pemastautin tetap (PR) Malaysia dan telah berkahwin dengan lelaki warga tempatan.

Lee berkata polis mendapati tiada sebarang unsur jenayah di tempat kejadian namun siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.