GUA MUSANG: Seorang wanita warga Myanmar cedera selepas dipercayai diserang seekor gajah liar di sebuah ladang di Aring 8 di sini Jumaat lepas.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan Mohamad Hafid Rohani berkata pihaknya menerima panggilan telefon daripada pejabat ladang Teroka Tuah Sdn.Bhd berkaitan seorang pekerja ladang getah mengalami kecederaan disyaki akibat serangan hidupan liar, lebih kurang 10 pagi, semalam.

“Anggota Jabatan Perhilitan Gua Musang tiba di ladang berkenaan pada pukul 12.30 tengah hari semalam dengan menggunakan kenderaan pacuan empat roda dan dibawa ke lokasi kejadian oleh suami mangsa dan kerani ladang,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata jarak antara bandar Gua Musang dengan ladang berkenaan adalah lebih kurang 130 kilometer dan pihaknya mengambil masa hampir dua jam untuk tiba di lokasi tersebut.

Mengikut rekod aduan konflik hidupan liar, beliau berkata Pejabat Perhilitan Gua Musang tidak pernah menerima aduan dari ladang tersebut sepanjang tahun lepas dan tahun ini.