• 2025-07-17 01:34 PM

RAUB: Seorang pengusaha pasir didenda RM100,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah mengekstrak pasir tanpa kebenaran di atas tanah milik kerajaan Pahang pada 2023.

Chang Chee Onn, 67, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Noor Zaihan Mohamad Ali yang turut memerintahkannya dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda. Tertuduh kemudian membayar denda berkenaan.

Hakim Noor Zaihan turut memerintahkan jentera yang disita iaitu sebuah jengkaut dan dua lori tipper dilucut hak kepada kerajaan negeri.

Warga emas itu didakwa melakukan kesalahan tanpa kebenaran yang sah mengekstrak bahan batuan iaitu pasir biasa di kawasan tanah kerajaan negeri di Sungai Ara, Mukim Gali, Raub kira-kira 2.45 petang pada 9 Dis 2023.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 426(1) Kanun Tanah Negara (Pindaan 2020) [Akta 828] yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000, atau penjara tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding itu, Pegawai Pendakwa Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) Muhammad Taqiuddin Azizan, memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran memandangkan kerajaan negeri mengalami kerugian dan ketirisan hasil royalti daripada aktiviti pengekstrakan pasir yang dijalankan tanpa kelulusan.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar dikenakan hukuman ringan atas alasan tidak mempunyai pekerjaan tetap dan perlu menanggung isteri serta seorang anak.

Menurut fakta kes, pemeriksaan mendapati tertuduh menjalankan aktiviti pengekstrakan pasir sungai di luar kawasan permit yang dibenarkan. Malah, beliau turut mengarahkan pekerjanya memindahkan pasir yang diekstrak dari tanah kerajaan ke dalam kawasan permit sah - BERNAMA