Yusoff Rawther: Setiausaha sulit Anwar Ibrahim buat laporan polis

KUALA LUMPUR: Satu laporan polis dibuat ke atas individu bernama Muhammed Yusoff Rawther berhubung tuduhan perbuatan salah laku seksual membabitkan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim (pix) di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, hari ini.

Setiausaha Sulit Anwar, Shukri Saad berkata laporan polis dibuat selepas Yusoff, yang juga bekas kakitangan kepada pemimpin PKR itu, mendakwa tindakan salah laku seksual telah dilakukan individu itu terhadap dirinya.

“Laporan polis dibuat terhadap akuan bersumpah Yusoff yang tular semalam. Saya menafikan sekeras-kerasnya kenyataan itu dan menyerahkannya kepada polis.

“Ini perkara remeh dan kerap berlaku dan kita nampak ada perancangan bagi menggagalkan proses peralihan kuasa yang sedang berlaku kini. Pihak kami akan kaji tindakan undang-undang seterusnya yang akan dilakukan,“ katanya kepada pemberita di IPD Dang Wangi di sini, hari ini.

Semalam, Yusoff dalam satu sidang media telah menunjukkan akuan bersumpahnya (SD) bertarikh 19 Nov mengenai perbuatan yang didakwa itu.

Akuan bersumpah itu juga disiarkan dalam laman Facebook menyatakan Yusoff telah mendakwa menjadi mangsa atas perlakuan tidak senonoh dilakukan oleh Anwar pada 2 Okt, 2018 di pejabatnya di Petaling Jaya.

Anwar dalam kenyataan dikeluarkan hari ini, turut menafikan sekeras-kerasnya tuduhan tidak berasas itu.

Dalam kenyataannya lagi, Anwar menyatakan beliau giat menjalankan kempen sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson serta menghadiri Majlis Memperingati Ulang Tahun Kelahiran Mahatma Gandhi ke-150 di Kuala Lumpur dan kembali semula ke Port Dickson untuk memenuhi jadual kempen pada tarikh dia didakwa terbabit dalam perkara itu. — Bernama