KUALA LUMPUR: Timbalan Akauntan Negara (Korporat) Zainani Jusoh telah dilantik sebagai Akauntan Negara baharu berkuat kuasa 3 September.
Pelantikan beliau diumumkan oleh Jabatan Akauntan Negara Malaysia bagi menggantikan Datuk Nor Yati Ahmad yang bersara wajib pada hari ini.
Surat pelantikan Zainani sebagai Akauntan Negara telah disampaikan oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar di Putrajaya pada 27 Ogos lepas.
Zainani yang berasal dari Tanah Merah, Kelantan merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dari Universiti Putra Malaysia.
Beliau merupakan akauntan bertauliah serta ahli Institut Akauntan Malaysia dan Institut Akauntan Awam Bertauliah Malaysia.
Zainani mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam perkhidmatan awam sejak menyertai sektor awam pada tahun 1994.
Sepanjang kerjayanya, beliau telah berkhidmat di pelbagai jabatan dan kementerian termasuk Lembaga Peperiksaan Malaysia dan beberapa kementerian utama.
Beliau memainkan peranan penting dalam mendigitalkan pengurusan perakaunan di kedutaan Malaysia di luar negara.
Perubahan besar ini membolehkan pengurusan kewangan di semua kedutaan Malaysia diurus dengan lebih cekap dan tepat.
Sebelum jawatan Timbalan Akauntan Negara, beliau mengetuai Bahagian Khidmat Perunding dan Bahagian Akaun Kementerian Kewangan.
Atas sumbangan dan kecemerlangan perkhidmatan, Zainani dianugerahkan darjah kebesaran Bentara Setia Mahkota pada tahun 2015.
Jabatan Akauntan Negara Malaysia merakamkan penghargaan kepada kerajaan atas kepercayaan yang diberikan kepada Zainani. – Bernama