PUTRAJAYA: Seorang penganggur terlepas tali gantung apabila Mahkamah Persekutuan di sini hari ini menggantikan hukuman mati yang dijatuhkan terhadapnya dengan penjara 32 tahun bagi kesalahan membunuh rakan di Gerik, Perak enam tahun lalu.

Panel tiga hakim terdiri daripada Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim serta Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Abu Bakar Jais membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan Mohd Norol Latif Abd Raof untuk mengetepikan hukuman mati yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi serta menggantikannya dengan pemenjaraan.

Abang Iskandar memerintahkan tertuduh yang berusia 55 itu menjalani hukuman penjara dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 27 Jan 2018.

Mahkamah juga tidak mengenakan hukuman sebatan kerana usia tertuduh melebihi 50 tahun.

Terdahulu, peguam Charan Singh memaklumkan mahkamah bahawa anak guamnya menarik balik rayuan terhadap sabitan dan hanya akan meneruskan rayuan terhadap hukuman mati.

Mohd Norol Latif dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi di Taiping, Perak pada 21 Ogos 2019 selepas didapati bersalah membunuh Mohd Shahrulnizam Abdullah di depan sebuah rumah di Kampung Jong, Gerik, Perak pada 1.20 pagi 16 Jan 2018.

Pada 6 April tahun lepas, Mahkamah Rayuan menolak rayuan tertuduh terhadap sabitan dan hukuman yang dijatuhkan ke atasnya.

Mengikut fakta kes, Mohd Norol Latif menikam dada kiri Mohd Shahrulnizam selepas mereka bergaduh kerana berebutkan bank kuasa yang didakwa mangsa telah dicuri oleh tertuduh. Kedua-dua lelaki adalah kawan rapat.

Mangsa telah ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah di tepi jalan. Dua rakan membawanya ke Klinik Kesihatan Plang di mana seorang pembantu perubatan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.

Charan Singh, yang dibantu oleh peguam Noor Farihah Arshad, turut memohon agar hukuman mati Mohd Norol Latif diganti dengan penjara 30 tahun namun Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fuad Abdul Aziz meminta mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama 35 tahun kerana kes itu membabitkan kehilangan nyawa.

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image