KUALA LUMPUR: Cadangan bagi memperkemas peraturan berhubung penggunaan kalimah Allah akan dibentangkan pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja pada Julai ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar).

Beliau berkata kerajaan juga akan merujuk kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang dipengerusikan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi tujuan itu.

“Kita akan rujuk kepada MKI yang dipengerusikan Sultan Selangor, akan beri pandangan, memperkemas peraturan ini supaya keputusan muktamad (mengenai penggunaan kalimah Allah) tidak boleh dipakai di Semenanjung, (dan) boleh dengan ruang dan syarat tertentu di Sabah dan Sarawak.

“Insya-Allah akan dibentangkan dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja pada Julai nanti,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar menjawab soalan Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) yang ingin tahu adakah kerajaan mendapatkan perkenan Majlis Raja-raja Melayu dan berunding dengan Majlis Agama Islam Negeri terlebih dahulu sebelum menarik balik rayuan dalam kes kalimah Allah.

Anwar berkata keputusan untuk menarik balik rayuan adalah sebagai usaha untuk memperkemaskan semua peraturan yang berkaitan.

“Atas pandangan Peguam Negara adalah untuk perkemaskan (peraturan). Kalau tidak, kita buat rayuan, kes berbangkit lagi kerana ada percanggahan. Jadi sebab itu kita tamatkan dengan pinda semua peraturan supaya jelas dan tidak ada kes boleh dibawa ke mahkamah. Bagi saya, ini lebih jelas ada kekuatan. Apa yang lemah?

“Saya tak fikir munasabah dipolitikkan isu ini. Pendirian kerajaan hari ini dalam keputusan Jemaah Menteri adalah memperaku keputusan yang dibuat Majlis Raja-Raja Melayu,” kata Anwar.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) yang meminta penjelasan mengenai rasional tindakan kerajaan menarik balik rayuan kes itu.

Pada 17 Mei lepas, Perdana Menteri menerusi kenyataan memaklumkan Jemaah Menteri telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mempersembahkan cadangan bagi mengukuhkan penguatkuasaan dasar berhubung kalimah Allah kepada Majlis Raja-Raja.

Menurut Anwar, ia turut melibatkan cadangan memperkukuh perpaduan dan keharmonian antara kaum dan agama di Malaysia.

Perkara itu adalah berhubung dengan keputusan Peguam Negara untuk menarik balik rayuan terhadap kes Jill Ireland Lawrence Bill berhubung bahan penerbitan yang mengandungi kalimah Allah. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image