LABUAN: Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) sekali lagi menunjukkan komitmennya terhadap tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan menganjurkan kempen derma darah.

Pengurus MAHB Labuan Amat Madin berkata acara tahunan itu yang dianjurkan dengan kerjasama unit tabung darah Hospital Labuan, menyaksikan kehadiran penderma yang menggalakkan dan berjaya mengumpulkan lebih 50 pain darah.

“Kempen derma darah hari ini di Lapangan Terbang Labuan menarik ramai penderma yang terdiri daripada kakitangan MAHB, Jabatan Agama Islam (JAWI) Labuan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan masyarakat setempat.

“Komitmen MAHB untuk memberi kembali kepada masyarakat melalui inisiatif seperti ini telah menjadikannya sebahagian daripada budaya korporat kami,” katanya kepada Bernama hari ini.

Pengarah Hospital Labuan Dr Adnan Musa Balidran berkata kerjasama dengan MAHB secara konsisten membantu hospital itu merapatkan jurang antara bekalan dan permintaan darah.

Seorang penderma, Rahman Abas berkata usaha itu memberi peluang kepadanya untuk menyumbang semula kepada masyarakat.

Munirah Ahmad, 45, pula berkata beliau bangga menjadi sebahagian daripada usaha murni ini.

“ ...menderma darah adalah cara yang mudah tetapi berkesan untuk menyelamatkan nyawa, dan saya gembira dapat menyumbang,“ katanya. -Bernama