SEREMBAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan merampas aksesori telefon bimbit pelbagai jenama disyaki tiruan dianggar bernilai RM47,739 dalam serbuan di sini hari ini.

Pengarahnya Muhammad Zahir Mazlan (gambar) berkata Operasi Tiru pada 12.15 tengah hari di Terminal Satu dan Dataran Centrio itu merampas aksesori tiruan berjenama Huawei, Samsung dan Xiaomi.

Beliau berkata pihaknya turut menyita 257 bateri berjenama Huawei, Samsung (lima) dan Xiaomi (198) serta 140 penutup belakang telefon Huawei.

“Operasi dijalankan bersama wakil pemilik cap dagang selepas risikan dijalankan sejak tiga minggu lepas, difahamkan premis ini beroperasi sejak 2018 dengan diuruskan oleh pemilik berlainan.

“Hasil pemeriksaan, dua lelaki yang mengaku pekerja di premis berkenaan telah ditahan bagi membantu siasatan,“ katanya kepada pemberita pada sidang media di pejabat KPDN negeri di sini hari ini.

Menurut Muhammad Zahir aksesori itu dijual kira-kira 80 peratus lebih murah daripada harga pasaran selain mendapati pembungkusan barangan juga mirip produk asal.

Susulan itu, katanya satu kertas siasatan dibuka dan penyiasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti pemilik terlibat untuk didakwa di bawah Akta Cap Dagangan 2019. -Bernama