IPOH: Proses bedah siasat ke atas 10 mangsa tragedi dua helikopter terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut yang dijalankan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini dijangka siap pada tengah hari esok.
Timbalan Pengarah Perubatan (I) Dr. Liaw Kok Toon yang menanggung tugas Pengarah HRPB berkata pihaknya menerima 10 jenazah mangsa bagi prosedur bedah siasat di pekarangan Jabatan Forensik hospital itu pada kira-kira 6 petang tadi.
“Prosedur bedah siasat telah dimulakan dan dijangka dapat disiapkan pada lewat tengah hari esok,“ katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata HRPB memohon kerjasama semua pihak agar memberi ruang bagi memastikan prosedur bedah siasat serta pengecaman mangsa dapat dijalankan dengan lancar oleh pihak Jabatan Forensik HRPB, selain menghormati privasi waris mangsa.
Kesemua jenazah dihantar ke HRPB setelah menjalani proses pengecaman waris di Hospital Angkatan Tentera Malaysia Lumut, sejak tengah hari tadi.
Nahas membabitkan pesawat Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan pesawat Fennec (M502-6) yang berlaku pada 9.32 pagi tadi semasa Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM ke-90, mengorbankan 10 pegawai dan anggota TLDM termasuk tiga wanita.