GUA MUSANG: Seorang pekerja ladang maut dipercayai digilis sebuah traktor ketika sedang memunggah buah kelapa sawit di Jalan Ladang, Felda Aring 5, di sini.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo dalam kenyataan hari ini berkata mangsa yang maut dikenali sebagai Puruekan Kachi, 36, digilis tayar hadapan traktor itu dalam kejadian pada kira-kira 3 petang, semalam.

Beliau berkata siasatan mendapati ketika kejadian, mangsa yang merupakan warga Thailand sedang melakukan kerja memunggah buah kelapa sawit di kawasan berbukit di hadapan traktor itu.

“Secara tiba-tiba traktor itu bergerak dengan sendiri dipercayai brek tangan tidak ditarik dengan sempurna dan melanggar mangsa menyebabkannya tercampak ke hadapan akibat faktor jalan yang menuruni bukit, sebelum digilis kenderaan itu.

Sik berkata mangsa yang masih sedar dibawa ke pejabat ladang untuk diselamatkan, namun disahkan meninggal dunia pada 4.50 petang oleh Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Chiku, di pejabat ladang berkenaan.

Beliau berkata mayat lelaki itu dibawa ke bahagian Forensik Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang awam diminta menyalurkan maklumat berhubung kes ini bagi membantu siasatan dengan menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang di talian 09-9121222 atau Pegawai Penyiasat di talian 017-2830392,” katanya. -Bernama