GEORGE TOWN: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dalam usaha membuka pusat dialisis di setiap negeri dalam tempoh dua tahun ini bagi memberikan khidmat perubatan kepada pencarumnya yang menghidap penyakit buah pinggang.

Menteri Sumber Manusia Steven Sim berkata sehubungan itu sebanyak RM24 juta telah disediakan bagi pembinaan pusat-pusat dialisis berkenaan.

“Dalam tempoh dua tahun ini, kita peruntukkan sebanyak RM24 juta untuk bina sebuah pusat dialisis di setiap negeri bagi memberi kemudahan kepada pencarum Perkeso yang menghidap penyakit buah pinggang.

“Selain itu, Perkeso juga mempunyai 700 panel pusat dialisis dan menanggung rawatan dialisis kira-kira 17,000 pencarumnya dengan kos setiap seorang RM2,100 sebulan,“ katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Tolak Gula anjuran Perkeso di Kilang Jabil Malaysia di Bayan Lepas, dekat sini hari ini.

Beliau memaklumkan ketika ini terdapat empat pusat dialisis Perkeso iaitu masing-masing dua di Selangor dan Johor yang merawat 124 pesakit secara percuma terdiri daripada pencarum pertubuhan itu.

Sementara itu, Sim berkata hasil saringan kesihatan yang dilakukan Perkeso ke atas 175,526 pekerja berumur 40 tahun ke atas dari 2023 sehingga 29 Feb tahun ini menunjukkan tahap kesihatan para pekerja di negara ini berada dalam keadaan membimbangkan.

Beliau berkata dapatan saringan kesihatan mendedahkan 59.59 peratus pekerja memiliki kolestrol tinggi (hiperkolesterolemia), 23.52 peratus dengan berat badan berlebihan atau obesiti, 20.45 peratus memiliki penyakit darah tinggi (hipertensi) manakala 19.91 peratus pekerja menghidap penyakit kencing manis (diabetes).

“Gaya hidup tidak sihat, termasuk pengambilan gula berlebihan telah menyumbang kepada peningkatan penyakit NCD (penyakit tidak berjangkit) dan perbelanjaan Perkeso bagi menampung kos rawatan pencarum turut meningkat iaitu sekitar RM20 juta hingga RM30 juta setahun,“ katanya.

Mengulas mengenai Kempen Tolak Gula, beliau berharap kempen itu dapat dilaksanakan secara meluas oleh Perkeso dengan sokongan majikan bagi memerangi jumlah NCD dalam kalangan pekerja.

Menurutnya langkah awal yang dicadangkan ialah penyediaan minuman tanpa gula di tempat kerja.

Sim berkata kempen itu bukan sahaja memberi kesan kepada individu dan majikan tetapi juga kepada produktiviti negara secara keseluruhan serta berharap semua pihak dapat membantu merapatkan jurang kesihatan pekerja dan memperbaiki kualiti hidup mereka. -Bernama