KUALA LUMPUR: Sebanyak 1,938 program hebahan ‘Info On Wheel’ (IOW) di 7,781 lokasi dilaksanakan Jabatan Penerangan (JaPen) dari awal Januari hingga 3 Mac ilepas bagi meningkatkan kefahaman rakyat tentang konsep Malaysia MADANI.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching (gambar) berkata selain program IOW yang merupakan program turun padang dan libat urus JaPen bersama komuniti setempat, beberapa program lain turut dilaksanakan oleh Kementerian Komunikasi, antaranya 30 program Jiwa MADANI, Kita MADANI dan Infiesta Pentarama.

“Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) juga secara berterusan menyebar luas konsep Malaysia MADANI melalui penyiaran pelbagai program dalam bentuk kapsul, Pesanan Khidmat Awam (PKA) dan program bual bicara,“ katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Senator Amir Md Ghazali yang ingin tahu sejauh manakah keberkesanan strategi kementerian dalam menyampaikan kefahaman tentang dasar, agenda dan kejayaan pentadbiran Kerajaan MADANI sepanjang 2023 sehingga kini.

Selain itu Teo memaklumkan 125 program bual bicara berkaitan Malaysia MADANI bersama tetamu jemputan terpilih telah disiarkan oleh kesemua 34 stesen radio kebangsaan dan negeri dalam bentuk PKA, promo dan sketsa.

Hebahan melalui media sosial dan digital turut dilaksanakan yang melibatkan perkongsian maklumat infografik dan videografik daripada pelbagai kementerian dan agensi-agensi kerajaan di platform media digital RTM, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan JaPen.

Beliau berkata Kementerian Komunikasi juga mengambil inisiatif untuk melaksanakan 18 pameran yang mengandungi maklumat tentang konsep Malaysia MADANI sepanjang 2024 di seluruh negara.

Sementara itu Teo memaklumkan kerajaan tidak meminggirkan penggiat industri kreatif kaum India dan telah menawarkan pelbagai inisiatif seperti kemudahan pembiayaan dan geran, akses kepada pasaran dan promosi, pembangunan kapasiti dan sebagainya disediakan oleh kementerian itu menerusi agensi-agensinya.

Beliau berkata antaranya MyCreative Ventures Sdn Bhd (MyCV) telah menyediakan pelbagai kemudahan pembiayaan di bawah CENDANA, Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), Pakej Rangsangan Industri Kreatif Malaysia (PRISMA) dan inisiatif Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) bagi membantu penggiat industri yang terkesan sewaktu pandemik COVID-19.

Sebagai contoh RTM juga menyediakan program pencarian bakat baharu Bintang MINNAL dan program Limpahan Cahaya sempena sambutan Deepavali dan lain-lain katanya.

Beliau menjawab pertanyaan Senator Datuk Dr R. Nelson yang ingin tahu apakah program-program khas yang boleh dianjurkan kementerian bagi memastikan artis-artis kaum India dapat menjana kewangan bagi menampung kehidupan.

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image