KUALA LUMPUR: Pelantikan pengerusi baharu Perbadanan Labuan kini di peringkat akhir dan akan diumumkan sebaik keputusan dimuktamadkan, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.
Beliau menegaskan bahawa pelantikan itu tidak sengaja dilewatkan, tetapi dilakukan dengan teliti untuk memastikan calon yang dipilih benar-benar memahami keperluan Labuan dan mampu memacu pertumbuhan ekonominya.
“Kita tidak perlu tergesa-gesa dalam membuat keputusan kerana pelantikan ini bukan sekadar mengisi kekosongan, tetapi lebih penting untuk memastikan pengerusi yang dilantik boleh memberi nilai tambah kepada pembangunan Labuan,” katanya semasa sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.
Dr Zaliha menjawab soalan tambahan Datuk Siti Aminah Aching (BN-Beaufort) mengenai kelewatan pelantikan dan sama ada faktor asal usul calon, terutamanya dari Sabah, akan dipertimbangkan.
Sementara itu, Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) sedang meneroka sektor baharu seperti pertanian dan ekonomi biru untuk mempelbagaikan ekonomi Labuan.
“Agro island adalah dasar progresif yang boleh menjadikan Labuan sebagai pulau dengan tahap keterjaminan makanan yang tinggi. Cabaran utama ialah zon guna tanah pertanian yang kecil, tetapi teknologi moden boleh membantu,” jelasnya.
Bagi ekonomi biru, akuakultur moden dan kajian marin akan diperkukuh untuk menarik penyelidik domestik dan antarabangsa.
Mengenai Borneo Flora Festival@Labuan 2025 (BFF2025), festival itu diharap dapat menjadikan Labuan sebagai hab pameran bunga serantau.
“Selain merangsang industri tempatan, program ini dijangka menarik 50,000 pengunjung dengan perbelanjaan langsung RM20 juta dan kesan ekonomi RM35 juta,” katanya. - Bernama