GEORGE TOWN: Seorang ahli peniagaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas empat pertuduhan menipu dengan menyamar sebagai pegawai polis membabitkan kerugian RM100,000.

V. Premantharan Pillai, 44, dari Klang, Selangor, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohammad Khalid Ab Karim dan Majistret R. Manomani.

Di Mahkamah Sesyen, bagi pertuduhan pertama dan kedua, Premantharan didakwa memperdaya seorang wanita dan seorang lelaki dengan berpura-pura memegang jawatan sebagai pegawai polis walaupun mengetahui bahawa dia tidak memegang jawatan tersebut.

Kedua-dua kesalahan didakwa dilakukan di Taman Sungai Ara, Bayan Lepas, kira-kira 4.05 hingga 4.10 petang, 23 Feb 2021 mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh di penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Di mahkamah sama, tertuduh turut didakwa memperdaya wanita yang sama untuk menyerahkan wang sebanyak RM100,000 kononnya untuk membebaskan suami wanita itu daripada satu kes bersabit kesalahan dadah.

Perbuatan itu didakwa dilakukan menerusi akaun dua bank di daerah Barat Daya dan Timur Laut di sini antara 12 tengah hari hingga 5 petang, pada 24 hingga 25 Feb 2021.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada setahun dan tidak lebih 10 tahun dan sebat serta boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Hakim Mohammad Khalid membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin dan syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan sehingga kes selesai serta menetapkan 10 Jan depan untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret, Premantharan turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyamar sebagai Inspektor polis yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut untuk menipu seorang mangsa di sebuah bank di Kompleks Tun Abdul Razak, kira-kira 9.55 malam, 13 Feb 2021.

Pendakwaan dilakukan di bawah Seksyen 419 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan perlu melapor diri setiap bulan di balai polis serta menetapkan 10 Jan depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Shahrezal Mohd Shukri dan Nurnajihatul Idayu Mohd Azuyar manakala Premantharan diwakili peguam RSN Rayer.