KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes Ahli Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli (gambar) yang berdepan pertuduhan menggunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan ditangguhkan kepada 17 Okt ini.

Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Rozman memberitahu media bahawa sepatutnya perbicaraan kes itu bersambung hari ini namun Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob yang mendengar kes berkenaan cuti kecemasan.

“Pihak kami mendapat maklumat dari mahkamah bahawa hakim cuti kecemasan. Oleh sebab itu, kes disebut di hadapan Hakim Azura Alwi,” katanya.

Terdahulu di hadapan Azura, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Feisal Mohd Azmi memaklumkan bahawa pihak-pihak telah bersetuju supaya tarikh perbicaraan baharu ditetapkan pada 17 dan 18 Okt ini.

“Hari ini ditetapkan untuk sambung bicara dan untuk rekod tiga saksi pendakwaan hadir ke mahkamah hari ini,” katanya.

Muhammad Rafique mengesahkan perkara itu dan memaklumkan anak guamnya hadir ke mahkamah hari ini.

Rozman, 57, didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Timbalan Pengerusi Lembaga Pelabuhan Labuan, telah menggunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan iaitu kontrak pekerjaan sebagai operator Dermaga Merdeka Pelabuhan Labuan bagi Syarikat Labuan Liberty Port Management Sdn Bhd (LLPM) yang bapa dan adik lelakinya mempunyai kepentingan.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Bilik Mesyuarat TKSU, Aras 9, Kementerian Pengangkutan Malaysia, Jalan Tun Hussein, Presint 4, Putrajaya antara 2.30 hingga 5.30 petang pada 21 Mac 2018.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun serta denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.-Bernama