Lelaki maut tertimbus tanah ketika menggali emas

KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki maut akibat tertimbus dalam runtuhan tanah ketika melombong emas di Kampung Air Sejuk di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Setiu DSP Afandi Hussin berkata dalam kejadian sekitar 5 petang itu, Mohd Johari Mohd Asri, 34, berada di kawasan berkenaan bersama ibu dan bapanya untuk menggali emas di dalam lubang sedalam kira-kira tiga meter sebelum berlaku runtuhan tanah menyebabkan mangsa tertimbus.

“Pada masa kejadian, cuaca mendung dan hujan lebat turun sekejap-sekejap menyebabkan tanah di kawasan tersebut lembut dan menyukarkan operasi pencarian.

“Dengan bantuan pihak bomba, mayat Mohd Johari ditemukan pada 7 malam dan berjaya dikeluarkan setengah jam kemudian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Afandi berkata usaha mengeluarkan Mohd Johari dilakukan dengan bantuan jentolak kerana tanah liat dan berpasir serta mudah runtuh.

Beliau berkata mayat dihantar ke Hospital Setiu untuk tindakan lanjut.-Bernama