KUALA LUMPUR: Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) mengesahkan tidak berlaku sebarang aktiviti pembalakan di Hutan Simpan Gunung Jerai berikutan kawasan itu diwartakan sebagai Hutan Perlindungan (Geopark Jerai) pada 2018.

Menteri berkenaan Datuk Seri Takiyuddin Hassan(gambar) berkata kawasan itu tidak diberikan lesen untuk diusahasil melalui pelaksanaan Catuan Tebangan Tahunan (CTT) walaupun 88 peratus kawasannnya boleh diusahasil.

“Jerai terletak di dalam Hutan Simpan Ulu Muda yang berkeluasaan 106,000 hektar dengan 12 peratus iaitu 12,720 hektar kawasan perlindungan dan 88 peratus boleh diusahasil.

“Sejak 2014 hingga 2019, sebanyak 25,000 hektar telah diluluskan lesen untuk membalak di dalam kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) di Kedah tetapi HSK Ulu Muda tidak dibalakkan langsung,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Beliau berkata KeTSA melalui Jabatan Perhutanan juga akan melaksanakan program restorasi hutan terosot termasuk di Jerai dan sebanyak RM75 juta diluluskan oleh kerajaan Persekutuan bagi program itu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) yang meminta penjelasan sejauh mana pemantauan kementerian terhadap aktiviti pembalakan di kawasan hutan khasnya di kawasan yang digazet sebagai hutan simpanan dan tindakan yang diambil terhadap kes pelanggaran.

Pada 18 Ogos lepas, berlaku banjir susulan fenomena kepala air dari Gunung Jerai yang mengorbankan enam nyawa, selain kira-kira 800 rumah di daerah Yan dan 200 rumah di daerah Kuala Muda terjejas.

Sementara itu, Takiyuddin berkata bagi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), CTT yang diluluskan oleh Majlis Tanah Negara (MTN) adalah 188,550 hektar untuk lima tahun dan penetapan CTT itu berasaskan kepada keupayaan pemulihan semula jadi bagi setiap kawasan yang telah diusahasil.

Beliau berkata CTT adalah antara pemantauan yang dilaksanakan oleh KeTSA terhadap aktiviti pembalakan di HSK selain pelaksanaan pensijilan Malaysian Criteria and Indicators for Forest Management Certification (MC&I) bagi negeri yang terlibat dengan aktiviti pengeluaran hasil kayu balak.

Selain itu, kementerian juga melaksanakan aktiviti penguatkuasaan hutan secara bersepadu dengan agensi kerajaan yang berkaitan bagi menangani aktiviti pencerobohan dan kesalahan hutan.

KeTSA juga menubuhkan Unit Integriti yang diketuai oleh pegawai daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di KeTSA dan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) bagi memantau aduan, salah guna kuasa dan rasuah dalam pengurusan hutan supaya isu ketirisan hasil dapat dibanteras.

Takiyuddin berkata kementerian melaksanakan inisiatif Continuous Monitoring of Surveillance (COMOS) yang dibangunkan oleh Jabatan Hutan Sarawak sementara semua pemegang lesen jangka panjang (SFMLA) dan lesen pembalakan lain di Sabah diwajibkan untuk diaudit oleh juruaudit pihak ketiga yang bebas sejak 2010. -Bernama