MEXICO CITY: Presiden Mexico Andres Manuel Lopez Obrador (gambar) pada Selasa berkata negaranya tidak akan menyertai projek mata wang seragam yang dirancang oleh Brazil dan Argentina, lapor Anadolu.

Bercakap pada sidang akhbar, Lopez Obrador menolak rancangan kerajaan Brazil dan Argentina untuk mencipta mata wang yang dipanggil “sur” (selatan) dalam usaha mengurangkan kelebihan komersial dolar Amerika Syarikat (AS) ke atas rantau itu.

“Kami tidak akan bersetuju,“ katanya sambil menekankan keperluan untuk mata wang domestik yang disokong dolar AS.

“Atas banyak sebab, kita perlu terus mengekalkan dolar sebagai penanda aras,” katanya.

Mata wang baharu itu dibincangkan semasa lawatan Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva ke Argentina menjelang sidang kemuncak ke-7 Komuniti Negara Amerika Latin dan Caribbean (CELAC) di Buenos Aires.

Menurut Lula, sur bertujuan meningkatkan perdagangan serantau dan mengurangkan pergantungan kepada dolar AS kerana banyak negara tidak dapat memperoleh dolar dan menyebabkan perdagangan di rantau ini tersekat.

“Jika ia bergantung kepada saya, kami mahu mempunyai perdagangan luar dalam mata wang yang sama dengan negara lain supaya kami tidak perlu bergantung kepada dolar,“ kata Lula pada sidang akhbar di Buenos Aires pada Isnin.

Bagi Presiden Argentina Alberto Fernandez, beliau mengakui projek itu mencabar tetapi perlu.

“Kami tahu apa yang berlaku kepada ekonomi negara yang berfungsi menggunakan mata wang asing, dan kami tahu bahayanya,“ kata Fernandez.

Projek ini juga dirancang dipeluas ke negara lain di rantau itu.

“Apa yang kami persetujui dengan Lula adalah keperluan untuk mengintegrasikan Amerika Latin,“ kata Fernandez.

Lopez Obrador telah dua kali bercadang membentuk gabungan seperti Kesatuan Eropah melibatkan negara-negara Amerika Latin dan Caribbean. Beliau, bagaimanapun menyokong integrasi ekonomi Amerika Latin dengan Amerika Utara.

Pada Sidang Kemuncak Pemimpin Amerika Utara pada awal Januari, Lopez Obrador menyeru rakan sejawatannya dari AS Joe Biden supaya menamatkan “penghinaan” AS terhadap Amerika Latin dan Caribbean.

Idea Lopez Obrador untuk Amerika Latin yang bersatu dibayangkan dalam rangka kerja perdagangan AS, Kanada dan Mexico yang berfungsi sebagai blok ekonomi untuk berhadapan perdagangan Asia. -Bernama