28 sekolah di Sarawak dan tujuh di Sabah tidak dapat beroperasi pada hari pertama sesi persekolahan 2026 akibat bencana banjir dan tanah runtuh.
KUCHING: Sebanyak 28 sekolah di Sarawak tidak dapat memulakan operasi pada hari pertama sesi persekolahan akibat banjir.
Pengarah pendidikan negeri Omar Mahli berkata jumlah itu meningkat berbanding 26 sekolah yang dilaporkan sebelum ini selepas pemantauan oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Dalat.
“Pada awalnya, sebanyak 42 sekolah dilaporkan terjejas namun hasil perbincangan dan penilaian semula, jumlah itu dikurangkan kepada 26,” katanya.
Beliau berkata pemantauan malam tadi mendapati dua lagi sekolah dimasuki air, menjadikan jumlah keseluruhan 28 sekolah yang tidak dapat beroperasi.
Omar berkata setakat ini belum ada laporan kerosakan serius aset sekolah kerana langkah awal pemindahan peralatan telah diambil.
Kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) disarankan sebagai alternatif terbaik bagi sekolah terbabit.
Sekolah yang terjejas merangkumi dua dari PPD Dalat, Daro (tiga), Selangau (empat) dan Tatau/Sebauh (19).
Di SABAH, tujuh sekolah rendah tidak dapat dibuka pada hari pertama sesi persekolahan akibat banjir dan runtuhan tanah.
Pengarah Jabatan Pendidikan negeri Datuk Raisin Saidin berkata enam sekolah di Beaufort masih terkesan banjir manakala sebuah di Tenom berdepan isu keselamatan tanah runtuh.
“Sekolah terbabit diberi pilihan sama ada mengadakan kelas PdPR sepanjang penutupannya atau membuat kelas ganti pada hari Sabtu,” menurutnya.
Beliau menegaskan sekolah hanya akan dibuka semula selepas keadaan pulih sepenuhnya dan selamat.
Enam sekolah terjejas di Beaufort ialah SK Bangkalalak, SK Garama, SK Jabang, SK Kebulu, SK Lago dan SK Suasa melibatkan 364 murid.
Sekolah di Tenom ialah SK Simpang dengan 60 murid terjejas.








