Bekas pengerusi NGO mengaku tidak bersalah di mahkamah atas tuduhan menyalahgunakan wang derma bantuan kemanusiaan berjumlah RM207,000
KUALA LUMPUR: Bekas pengerusi sebuah pertubuhan bukan kerajaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menyalahgunakan wang derma bantuan misi kemanusiaan berjumlah RM207,000.
Mohd Hakim Mohd Nor, 39, didakwa secara tidak jujur menyalahgunakan harta milik Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim iaitu wang derma bantuan misi kemanusiaan bersama NGO di Myanmar, Yaman, Syria dan Palestin.
Insiden itu berlaku di sebuah bank di Jalan Sultan Hishamuddin pada 27 Disember 2019.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun dan sebatan atau denda jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya SPRM Asmaa’ Zamri menawarkan jaminan RM50,000 dengan syarat tertuduh melapor diri setiap awal bulan.
Syarat lain termasuk menyerahkan dokumen perjalanan kepada mahkamah dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Peguam Azzizul Shariman Mat Yusoff memohon jaminan RM10,000 atas alasan anak guamnya menanggung tiga anak yang masih bersekolah.
Beliau juga menyokong bapa dan ibunya yang mempunyai penyakit darah tinggi dan kencing manis.
Isteri tertuduh bekerja sendiri dengan pendapatan RM1,500 sebulan.
Hakim Azrul Darus membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.
Mahkamah turut mengenakan syarat tambahan yang dimohon oleh pihak pendakwaan.
Kes ini ditetapkan untuk sebutan semula pada 11 Mac ini bagi serahan dokumen.








