Tuesday, November 11, 2025
22.5 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Cikgu E meninggal dunia selepas berjuang lawan tiga jenis kanser

Bekas guru terkenal Nassry Mardee Ismail atau Cikgu E meninggal dunia di Ipoh selepas berjuang melawan tiga jenis kanser sejak Mac 2024.

IPOH: Bekas guru Nassry Mardee Ismail yang dikenali ramai sebagai Cikgu E telah meninggal dunia hari ini selepas berjuang melawan tiga jenis kanser.

Beliau menghembuskan nafas terakhir pada pukul 4.35 petang selepas bertarung dengan kanser buah pinggang, kanser kelenjar dan kanser paru-paru sejak Mac 2024.

Perkhabaran duka itu dimaklumkan anaknya Nassrul Hakeem menerusi catatan di laman Facebook bapanya.

“Nassry Mardee Bin Ismail dah meninggalkan kita semua,” menurut catatan itu yang memohon doa dan al-Fatihah untuk arwah.

Sebelum ini, Cikgu E pernah memuat naik catatan terakhir di Facebook mengenai keadaan pernafasannya yang semakin tidak teratur.

Melalui catatan itu, beliau menyedari nikmat paling besar dalam kehidupan adalah mampu bernafas – sesuatu yang sering dilupakan ramai.

“Andai inilah detik-detik terakhir yang Allah pinjamkan, saya ingin gunakan kesempatan ini untuk memohon ampun dan maaf kepada semua yang pernah mengenali saya,” tulisnya.

Beliau juga memohon maaf atas segala tutur kata, tulisan atau perlakuan yang mungkin menyinggung atau menyakiti hati secara sengaja atau tidak.

Arwah turut menekankan bahawa reda bukan bermakna berhenti berharap tetapi menerima ketentuan Allah dengan hati yakin.

Allahyarham memohon kenalan dan keluarganya tidak menangisi pemergiannya tetapi cukup dengan mengirim doa dan al-Fatihah.

“Terima kasih kepada semua yang pernah hadir dalam hidup saya sebagai sahabat, saudara, guru atau sekadar peneman di ruang maya ini,” menurut catatan terakhirnya.

Pada 2 November lepas, Bernama melaporkan walaupun hanya mempunyai 30% baki saluran pernafasan berfungsi, Cikgu E enggan menyerah kalah melawan kanser paru-paru tahap empat.

Bapa kepada lima cahaya mata berusia antara lapan hingga 19 tahun itu hanya mampu menghabiskan masa 24 jam dalam keadaan duduk dengan bantuan oksigen. – Bernama

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

spot_img

Popular Categories