Media ASEAN perlu main peranan proaktif bina komuniti, tangkis maklumat salah dan tonjol kisah kemanusiaan, kata Menteri Luar
KUALA LUMPUR: Media memainkan peranan penting dan proaktif dalam pembinaan Komuniti ASEAN dengan meningkatkan kesedaran awam terhadap blok serantau itu.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata organisasi media membantu menangkis maklumat salah, membina kepercayaan dan menjadi penghubung penting antara dasar ASEAN dengan rakyat.
“Peranan anda bukanlah pasif; sebaliknya proaktif. Anda menyediakan platform penting untuk meningkatkan kesedaran mengenai ASEAN dan memupuk kefahaman yang lebih mendalam,” katanya dalam ucapan khas pada Forum Media ASEAN ke-9.
Ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Pengarah Sekretariat Kebangsaan ASEAN-Malaysia, Datuk Zanariah Zainal Abidin.
Mohamad menekankan organisasi media perlu memastikan keterangkuman digital dan menumpukan naratif berpaksikan rakyat.
Pendekatan ini menjamin capaian meluas termasuk ke kawasan luar bandar dan komuniti kurang mendapat liputan.
“Media kita juga harus menonjolkan kisah-kisah kemanusiaan – persahabatan, kerjasama belia dan daya tahan – yang menjadi asas perkongsian berkekalan,” tambahnya.
Beliau menegaskan Malaysia bersedia memudah cara dialog berterusan dan memanfaatkan potensi media untuk faedah rantau ini.
Forum Media ASEAN berfungsi sebagai platform dialog terbuka antara ASEAN dan media serantau.
Dilancarkan di Manila pada 4 Ogos 2017 sempena ulang tahun ke-50 ASEAN, forum itu bertujuan memupuk persefahaman bersama.
Ia juga memperkukuh kerjasama dalam mempromosikan Komuniti ASEAN. – Bernama









