the sun malaysia ipaper logo 150x150
Monday, January 12, 2026
21.1 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150
spot_img

PRK Kinabatangan uji legasi Bung Moktar, pengaruh BN Sabah

PRK Kinabatangan dan DUN Lamag jadi ujian signifikan terhadap legasi Bung Moktar dan kemampuan BN Sabah bangkit, kata penganalisis

KINABATANGAN: Pilihan Raya Kecil Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag bukan sekadar medan memilih pengganti, tetapi ujian paling signifikan terhadap legasi Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Selepas memenangi kerusi itu lebih dua dekad, pengaruh Bung Moktar dilihat masih kuat berakar umbi dalam kalangan pengundi setempat.

Pensyarah UMS Dr Haryati Abdul Karim berkata PRK ini penting untuk menilai sejauh mana pengaruh politik Bung Moktar diterjemahkan sebagai sokongan pengundi selepas ketiadaannya.

Beliau berkata hubungan Bung Moktar dengan masyarakat melalui rekod bantuan tanpa mengira latar masih segar dalam ingatan pengundi termasuk golongan muda.

“Soal sama ada pengundi muda akan memilih antara naratif pembangunan atau kesinambungan legasi beliau, saya berpendapat mereka ini akan lebih cenderung kepada legasi Allahyarham,” katanya.

Haryati berkata keputusan PRK ini turut menguji kemampuan Barisan Nasional Sabah untuk bangkit semula selepas hanya memenangi enam kerusi DUN pada PRN lepas.

Beliau berpandangan persaingan yang lebih kecil memberi ruang kepada pengundi membuat pilihan yang lebih jelas.

Kemenangan dalam PRK ini membawa makna kepada parti, khususnya BN Sabah yang berhasrat mengukuhkan kedudukan dalam kerajaan Gagasan Rakyat Sabah.

Lebih separuh pengundi di Kinabatangan terdiri daripada golongan muda berusia 18 hingga 39 tahun, menjadikan kumpulan ini penentu utama.

Corak pengundian kelompok itu dilihat cenderung menilai kesinambungan kepimpinan serta tawaran masa depan berbanding kesetiaan kepada parti semata-mata.

Pensyarah UiTM Sabah Tony Paridi Bagang berkata Kinabatangan memerlukan kesinambungan antara pembangunan dan kepimpinan untuk memacu perubahan.

“Calon BN merupakan orang muda dan pasti mempunyai tawaran idea baharu. Legasi kepimpinan dan rasa simpati kepada Allahyarham Bung Moktar bakal memberi nilai tambah kepada calon BN,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berpandangan parti Warisan kekal sebagai pencabar utama berdasarkan rekod sokongan pada PRN lepas.

PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohd Kurniawan Naim Moktar (BN), Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid (Bebas).

Pertandingan di DUN Lamag pula ialah satu lawan satu antara Mohd Ismail Ayob (BN) dan Mazliwati Abdul Malek (Warisan).

PRK ini diadakan susulan kematian penyandangnya Bung Moktar pada 5 Disember lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari hingga 23 Januari, dengan hari pengundian pada 24 Januari.

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

spot_img

Popular Categories