the sun malaysia ipaper logo 150x150
Tuesday, January 13, 2026
22.9 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150
spot_img

Siasatan kes aktiviti tidak bermoral ATM akan beralih ke peringkat perundangan

Siasatan terhadap 21 pegawai TUDM terbabit kes aktiviti tidak bermoral akan beralih ke proses perundangan, kata Menteri Pertahanan.

KUALA LUMPUR: Siasatan terhadap 21 pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia yang terbabit dengan aktiviti tidak bermoral akan beralih kepada proses perundangan dalam masa terdekat.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata kesemua pegawai berkenaan masih bertugas seperti biasa dan berhak membela diri.

“Mereka sedang disiasat dan apabila selesai (siasatan), ia akan beralih kepada proses perundangan, sudah tentu mereka ada hak untuk membela diri,” katanya selepas Majlis Perutusan Tahun Baharu Menteri Pertahanan 2026 di Wisma Perwira.

Mohamed Khaled menegaskan larangan berkaitan pengambilan minuman keras dan membawa tetamu bukan ahli keluarga ke dalam mess telah lama termaktub dalam peraturan ATM.

Beliau berkata kemasukan tetamu ke dalam mess hanya dibenarkan melibatkan ahli keluarga.

Insiden yang berlaku itu merupakan pelanggaran peraturan oleh segelintir individu dan bukannya satu budaya yang diamalkan secara meluas dalam ATM.

“Di media sosial seolah-olah digambarkan ini adalah budaya biasa dalam ATM, sedangkan sebenarnya peraturan sudah jelas,” katanya.

Mohamed Khaled berkata tindakan tegas akan diambil dan sekiranya didapati bersalah, hukuman maksimum termasuk penamatan perkhidmatan boleh dikenakan.

Pada 5 Jan lepas, Kementerian Pertahanan mengarahkan ATM menjalankan siasatan dalaman berhubung dakwaan kemasukan individu luar serta wujudnya aktiviti tidak bermoral di kem tentera.

Mohamed Khaled berkata MINDEF dan ATM sudah lama mengharamkan kegiatan tidak bersahsiah di semua kem seluruh negara.

Beliau berkata pihaknya telah menetapkan peraturan dan garis panduan yang jelas dan tegas berkaitan segala aktiviti sosial yang boleh diadakan di kem.

Individu yang mencemarkan nama baik ATM dengan perbuatan mungkar sama sekali bukan cerminan akhlak dan kewibawaan pasukan itu.

“Kepada seluruh rakyat Malaysia, wajah sebenar ratusan ribu anggota ATM adalah keperkasaan dan pengorbanan luar biasa, pahlawan yang bersih integritinya,” katanya.

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

spot_img

Popular Categories