Ketua Hakim Negara berkata hakim tidak akan membalas kritikan awam terhadap keputusan mahkamah, sebaliknya menjawab melalui alasan penghakiman bertulis.
KUALA LUMPUR: Ketua Hakim Negara Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh berkata hakim biasanya tidak akan membalas sebarang kritikan awam terhadap keputusan mahkamah.
Beliau berkata demikian ketika menyentuh mengenai kritikan terhadap badan kehakiman susulan keputusan dan penghakiman terperinci yang disampaikan pada 26 Disember 2025 dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Para hakim tidak akan memberi respons kepada kritikan. Kami hanya menjawab melalui alasan penghakiman dan penghakiman bertulis. Apabila ada pihak menyerang kami di Internet, biasanya kami tidak akan membalas,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis Perasmian Tahun Perundangan 2026 di sini.
Pada 26 Disember lepas, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda berjumlah RM11.4 bilion selepas mendapati Najib bersalah atas empat pertuduhan salah guna kuasa serta 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.3 bilion yang dikaitkan dengan 1MDB.
Hukuman itu hanya akan berkuat kuasa selepas Najib selesai menjalani hukuman penjara enam tahun dalam kes SRC International Sdn Bhd melibatkan penyelewengan dana RM42 juta, yang dijadualkan berakhir pada 23 Ogos 2028.








