Kes saman fitnah Teresa Kok terhadap Akmal Saleh gagal selesai melalui pengantaraan, perbicaraan di Mahkamah Tinggi Melaka ditetapkan Februari ini.
MELAKA: Proses pengantaraan bagi menyelesaikan saman fitnah yang difailkan Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok terhadap Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh (gambar) telah gagal.
Peguam Teresa Kok, Datuk Sankara Nair, berkata kedua-dua pihak gagal mencapai persetujuan untuk penyelesaian di luar mahkamah.
“Perbicaraan ditetapkan pada 12 dan 13 Feb ini di Mahkamah Tinggi Melaka… jadi, kami akan jumpa dia di mahkamah pada tarikh yang ditetapkan,” katanya.
Proses pengantaraan itu diadakan di hadapan Timbalan Pendaftar Suzana Mokhtar di Pusat Mediasi Mahkamah Melaka.
Ia dihadiri oleh peguam serta pihak-pihak yang terlibat.
Teresa Kok memfailkan saman itu pada 25 Oktober 2024.
Beliau mendakwa Akmal membuat kenyataan menghina dan merendahkan menerusi video di TikTok pada 7 September 2024.
Kenyataan itu didakwa menggambarkan Kok tidak mempunyai pengetahuan mengenai pensijilan halal serta menentang dasar kerajaan berkaitan amalan Islam.
Kok menuntut pampasan, ganti rugi am, teruk dan teladan terhadap defendan.
Beliau juga memohon injunksi untuk menghalang Akmal daripada terus menyebut atau menerbitkan kenyataan memfitnah.
Perbicaraan kes itu akan diteruskan seperti yang dijadualkan pada bulan Februari.








