Pesta Ponggal disambut masyarakat Tamil dengan upacara tradisi dan memasak Ponggal, menekankan kesyukuran dan eratkan hubungan kekeluargaan
KUALA LUMPUR: Pesta Ponggal yang diraikan masyarakat Tamil di seluruh negara hari ini berlangsung dalam suasana meriah dan penuh tradisi.
Sambutan diadakan di kediaman masing-masing serta di kuil di beberapa negeri.
Di ibu negara, Pengerusi Kuil Sri Maha Mariamman Tan Sri R Nadarajah berkata sambutan bermula 10 pagi dengan upacara sembahyang.
Aktiviti diteruskan dengan memasak Ponggal secara tradisional.
“Pesta Ponggal merupakan perayaan kesyukuran yang sangat penting bagi masyarakat Tamil kerana ia melambangkan penghargaan kepada Tuhan, alam semula jadi serta hasil tuaian dikurniakan,” katanya.
Beliau menambah sambutan ini juga menjadi platform untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan dan perpaduan dalam komuniti.
Di Negeri Sembilan, suri rumah Thilagah Shanmugam, 41, meraikan perayaan bersama seluruh ahli keluarganya di rumah.
Ibu kepada dua cahaya mata itu berkata persiapan menyambut perayaan tersebut telah dilakukan sejak malam semalam.
Rumah dihias menggunakan pucuk daun kelapa, daun pisang, hiasan daun mangga serta beberapa batang pokok tebu yang diikat di ruang hadapan.








