Kementerian Pendidikan jangka kajian semula keperluan UPSR dan PT3 siap tahun ini, susulan permintaan ibu bapa dan warga pendidik
PUTRAJAYA: Kajian mengenai keperluan memperkenalkan semula Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dijangka siap dalam tahun ini.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata kajian itu akan dilaksanakan segera selepas proses pelantikan ahli Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) selesai.
“MPPK ini dalam proses pelantikan. Dari segi persiapan sebagaimana arahan saya, kita sudah bersedia,” katanya kepada pemberita selepas Program PAKAT Prasekolah di Sekolah Kebangsaan Presint 9 (1) hari ini.
Beliau menambah pihaknya hanya menunggu ahli dilantik sebelum menyelesaikan kajian sesegera mungkin.
Fadhlina berkata kajian dilaksanakan kerana kerajaan mengambil maklum permintaan serta pandangan ibu bapa dan warga pendidik.
“Saya ingat tidak ada masalah pun untuk kita kaji kerana ada permintaan,” katanya.
Beliau menegaskan langkah itu menandakan kerajaan mendengar dan akan mengkaji bersama sebelum membuat keputusan penting berkaitan dasar pendidikan.
Mengenai pengagihan Bantuan Awal Persekolahan (BAP), Fadhlina berkata kementerian menyasarkan proses itu diselesaikan dalam minggu ini.
Namun, beliau memberi sedikit kelonggaran kepada sekolah-sekolah tertentu seperti di kawasan pendalaman.
Beliau menambah pengagihan BAP di seluruh negara setakat ini berjalan lancar.
UPSR dimansuhkan pada 2021 manakala PT3 dimansuhkan pada 2022 sebelum digantikan dengan Pentaksiran Berasaskan Sekolah.








