Seorang lelaki ditahan polis selepas video tular memaparkannya memukul seorang kanak-kanak dengan rotan dan membaling kerusi di sebuah rumah di Petaling Jaya.
PETALING JAYA: Polis menahan seorang lelaki berusia 38 tahun kerana memukul seorang kanak-kanak menggunakan rotan di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Shamsudin Mamat berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 1.21 petang semalam.
Siasatan awal mendapati kejadian di sebuah rumah itu berpunca apabila mangsa, yang berusia antara lapan hingga 11 tahun, bertindak melawan ibunya.
“Rakaman video kejadian berkenaan yang tular memaparkan kanak-kanak itu dipukul menggunakan rotan serta dibaling dengan kerusi,” katanya dalam kenyataan.
Suspek yang juga bapa saudara mangsa telah ditahan dan beberapa barangan yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu turut dirampas.
Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 dan suspek direman sehingga esok.








