Sarawak selaraskan jadual bas elektrik percuma ke Pusat Hidupan Liar Semenggoh bagi pastikan pelancong tiba tepat waktu untuk lihat orang utan makan.
KUCHING: Jadual perjalanan bas elektrik percuma ke Pusat Hidupan Liar Semenggoh telah diselaraskan semula bagi meningkatkan pengalaman pelancong.
Pelarasan ini dibuat untuk memastikan ketibaan tepat pada waktu sesi pemberian makanan orang utan.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah (gambar) berkata jadual lama menyebabkan sebahagian pelancong tiba lewat.
“Berdasarkan jadual lama, ada bas yang tidak digunakan sepenuhnya kerana pelancong tiba selepas waktu makan orang utan,” katanya.
Beliau menambah jadual baharu perlu diselaraskan supaya lebih memenuhi kehendak pelancong.
Waktu pemberian makanan orang utan di Semenggoh dibuat dua kali sehari, iaitu kira-kira 10 pagi serta antara 3 hingga 4 petang.
Jadual baharu bas kini disusun lebih awal bagi memenuhi keperluan tersebut.
Abdul Karim berkata demikian semasa melakukan lawatan kerja menaiki bas elektrik dari Open Air Market ke Pusat Hidupan Liar Semenggoh.
Lawatan itu bagi menilai keberkesanan laluan serta jadual baharu yang diperkenalkan.
Ia juga bagi memastikan penggunaan perkhidmatan bas elektrik itu lebih optimum serta sejajar dengan jadual aktiviti utama di pusat hidupan liar berkenaan.
Perkhidmatan bas elektrik percuma itu turut melalui beberapa hotel utama di sekitar Kuching bagi memudahkan pergerakan.
Setakat ini, Kerajaan Negeri Sarawak menyediakan empat bas elektrik yang mesra alam.
Ini selaras dengan komitmen ke arah pelancongan mampan dan pengurangan pelepasan karbon.
Perkhidmatan bas elektrik percuma itu turut melibatkan perjalanan dari bandar Kuching ke Kampung Budaya Sarawak di Santubong.
Maklumat dan jadual perjalanan boleh disemak menerusi laman web https://mtcp.sarawak.gov.my atau aplikasi Kuching Metro.









