Kerajaan sedang menggubal Akta Keterjaminan Makanan Negara sebagai asas perundangan kukuh untuk memelihara kedaulatan makanan negara.
KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang menggubal Akta Keterjaminan Makanan Negara yang akan menjadi asas perundangan kukuh bagi memelihara kedaulatan makanan negara.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata penggubalan akta itu ialah langkah inklusif dan strategik kerajaan.
“Penggubalan akta ini ialah janji dan komitmen tulus kita kepada generasi akan datang bagi memastikan Malaysia sentiasa mempunyai sistem bekalan yang mampan dan tidak akan sesekali membiarkan rakyatnya terputus bekalan makanan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan Dasar Keterjaminan Makanan Negara 2030 (DKMN 2030) di sini hari ini.
Fadillah berkata dunia kini berdepan dengan situasi ketidaktentuan luar biasa merangkumi perubahan iklim ekstrem, ancaman penyakit dan perosak, ketegangan geopolitik serta persaingan guna tanah.
Faktor ini memberikan kesan langsung kepada kestabilan rantaian bekalan makanan global, sekali gus meningkatkan kos input dan tekanan inflasi makanan.
“Apabila kos input ini naik, ia mencetuskan kesan domino, iaitu inflasi harga makanan pada peringkat global,” katanya.
Beliau berkata meskipun Malaysia masih berada pada kedudukan keterjaminan makanan yang stabil, kerajaan tidak boleh bersikap leka kerana pencapaian semasa bukan jaminan untuk masa hadapan.
Fadillah berkata DKMN 2030 berperanan sebagai kompas utama dalam memacu transformasi sektor agromakanan negara.
Dasar itu bagi memastikan ketersediaan bekalan yang mencukupi, keselamatan dan kualiti makanan terjamin serta kelestarian alam sekitar demi kelangsungan sistem makanan negara.
Beliau berkata dasar berkenaan turut menumpukan kepada pemerkasaan kesejahteraan petani, pesawah dan nelayan melalui pemodenan sektor pertanian.
Ia juga bertujuan menjadikan sektor agromakanan sebagai pemacu ekonomi yang berdaya saing dan penyumbang signifikan kepada pertumbuhan negara.
Selain itu, katanya terdapat keperluan untuk beralih kepada pertanian pintar melalui pendigitalan dan penggunaan teknologi seperti dron, Internet Kebendaan (IoT) dan kecerdasan buatan.
Ini bagi meningkatkan produktiviti, menarik minat golongan belia serta menjadikan pertanian sebagai kerjaya moden dan menguntungkan.
Beliau berkata agenda keterjaminan makanan memerlukan pendekatan menyeluruh melibatkan seluruh kerajaan dan masyarakat dengan kerjasama merentas kementerian serta penglibatan sektor swasta dan institusi pengajian tinggi.
Fadillah berkata kerjasama ini penting bagi mengurangkan kebergantungan pada import dan memperkukuh daya tahan sistem makanan negara.
DKMN 2030 ialah kesinambungan kepada usaha transformasi sektor pertanian dengan berpandukan enam fokus utama keterjaminan makanan, iaitu ketersediaan, kebolehcapaian, penggunaan, kestabilan, kemampanan dan agensi.
Dasar ini membawa anjakan paradigma yang melangkaui aspek produktiviti dengan menekankan kemampanan melalui pertanian pintar dan amalan regeneratif.
Ia juga bertujuan melonjakkan kesejahteraan petani melalui pemodenan sektor demi menoktahkan kemiskinan.








