the sun malaysia ipaper logo 150x150
Tuesday, June 30, 2026
26.4 C
Kuala Lumpur
the sun malaysia ipaper logo 150x150

PPS di Kedah ditutup sepenuhnya, mangsa banjir menurun di beberapa negeri manakala Johor kekal

KUALA LUMPUR: Situasi banjir di beberapa negeri semakin pulih dengan pusat pemindahan sementara (PPS) di Kedah telah ditutup sepenuhnya petang ini sementara Kelantan dan Perak menunjukkan pengurangan jumlah mangsa banjir manakala di Johor kekal.

Di KEDAH, Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Gunung yang dibuka sejak 29 Nov lepas telah ditutup sepenuhnya pada pukul 2.30 petang tadi.

“Kesemua mangsa dari Mukim Gunong yang melibatkan Kampung Alor Gunung, Kampung Gunung, Kampung Gunung Hilir, Kampung Alor Goncar, Kampung Alor Melintang dan Pondok Tanjung Bedil itu telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing berikutan air telah surut sepenuhnya,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir terus mencatatkan penurunan kepada 32 mangsa daripada tujuh keluarga setakat 4 petang ini berbanding 43 mangsa daripada 12 keluarga pagi tadi.

Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan sejumlah 32 mangsa daripada tujuh keluarga itu masih berlindung di sebuah PPS di Pasir Mas.

Portal infobanjir.water.gov.my, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula mencatatkan hanya Sungai Golok di Tumpat masih melepasi 2.0 meter iaitu paras berjaga-jaga, manakala semua sungai lain berada pada paras normal.

Di PERAK, Sekretariat Jabatan Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam kenyataan memaklumkan jumlah mangsa banjir petang ini berkurangan kepada 112 mangsa daripada 36 keluarga di tiga PPS di daerah Kinta dan Perak Tengah berbanding 117 mangsa pagi tadi.

Kenyataan itu memaklumkan seramai 78 mangsa daripada 25 keluarga masih berlindung di dua PPS Dewan Serbaguna Tanjung Tualang dan SK St Paul di daerah Kinta manakala PPS Dewan Orang Ramai Kampung Teluk Kepayang, Bota di Perak Tengah masih kekal 34 mangsa daripada 11 keluarga.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan kebanyakan daerah antaranya Kerian, Manjung, Perak Tengah, Hilir Perak, Bagan Datuk, Kinta, Kuala Kangsar, Hulu Perak serta Muallim akan berlaku hujan pada petang ini dan sebelah malam nanti.

Dalam pada itu, di JOHOR jumlah mangsa banjir kekal dengan 109 orang daripada 33 keluarga sehingga pukul 4 petang, hari ini, sebagaimana pagi tadi dengan hanya daerah Segamat terjejas banjir.

Pengerusi JPBN Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata empat PPS masih beroperasi termasuk di Balai Raya Kampung Batu Badak dengan 40 mangsa daripada 12 keluarga.

Beliau berkata tiga lagi PPS adalah di Dewan Komuniti Kampung Tasek dengan 46 mangsa daripada 15 keluarga, Balai Raya Kampung Sanglang 19 mangsa daripada lima keluarga dan Balai Raya Kampung Kuala Paya empat mangsa daripada satu keluarga.

“Dua sungai berada pada paras bahaya iaitu Sungai Tangkak di Kampung Seri Ma’mor, Tangkak dengan catatan bacaan 4.27 meter dan Sungai Muar di Jeti Kampung Tekam, Segamat dengan bacaan 4.17 meter.

“Daerah Segamat dilaporkan hujan petang ini, manakala Muar, Mersing, Batu Pahat dan Tangkak mendung serta Johor Bahru, Pontian, Kluang, Kota Tinggi dan Kulai berkeadaan cerah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Di NEGERI SEMBILAN, laman sesawang Info Bencana JKM melaporkan keseluruhan dua PPS dibuka di Tampin iaitu Balai Raya Kampung Parit Buluh dan Sekolah Kebangsaan Gedok yang menempatkan 30 mangsa daripada lapan keluarga setakat petang ini.

STAY AHEAD OF THE CURVE

Join our community for instant updates and exclusive content.

Join Telegram Channel

Related


spot_img

Latest News

Ensuring safety of our interns

A 24-year-old’s fatal accident exposes the deadly gap between academic oversight and industrial safety, demanding urgent accountability for vulnerable trainees.

Most Viewed

spot_img
WC26

World Cup 2026

Updates, Fixtures, Results & Standings