the sun malaysia ipaper logo 150x150
Friday, June 26, 2026
28.9 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Isu mansuh subsidi minyak masak paket dibincang untuk elak ketirisan – Rafizi

KOTA BHARU: Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata isu pemansuhan subsidi minyak masak paket ada dibincangkan oleh kerajaan bagi mengatasi masalah ketirisan.

Beliau berkata jika dimansuhkan, akan ada risiko tertentu kerana kerajaan membelanjakan puluhan juta bagi subsidi minyak masak.

“Jadi perkara ini di bawah kawal selia Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan isu berkenaan ada beberapa kali dibincangkan di peringkat Jemaah Menteri,“ katanya pada sidang media selepas Sesi Libat Urus Rancangan Malaysia Ke-13 Kementerian Ekonomi bersama Kerajaan Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.

Ahli Parlimen Pandan itu berkata ketika ini, KPDN sedang melakukan proses semakan mengenai cara terbaik untuk memberikan subsidi tanpa melibatkan ketirisan yang besar.

Rafizi berkata di peringkat Kementerian Ekonomi, pihaknya perlu menunggu pembentangan di Kabinet dan beliau berharap ada kaedah yang lebih baik.

Sebelum ini, kerajaan disaran memansuhkan minyak masak paket subsidi dan digantikan dengan bantuan kewangan kepada golongan sasar bagi menangani isu penyelewengan serta ketirisan.

Beliau juga berkata segala projek pembangunan sempadan negara melibatkan negeri sebelah utara, Sabah dan Sarawak sedang diperhalusi.

“Kita perlu membangunkan format dan model pembangunan terlebih dahulu… daripada situ, barulah kita boleh tentukan jumlah peruntukan dan bagaimana pembangunan sempadan yang akan dilaksanakan,“ katanya.

Beliau diminta mengulas kenyataan Menteri Besar Datuk Mohd Nassuruddin Daud bahawa cadangan pembinaan tembok keselamatan dan kawalan banjir di Rantau Panjang-Sungai Golok memerlukan kos anggaran RM450 juta termasuk bagi pengambilan tanah.

Pada 14 Nov lepas, kerajaan Thailand menyambut baik cadangan Kerajaan Negeri Kelantan itu dan Gabenor Wilayah Narathiwat Trakul Thotham berkata pembinaan tembok berkenaan akan menjadi langkah penting dalam menangani pelbagai isu jenayah rentas sempadan.

Pada 5 Nov lepas, Kelantan merancang untuk mengusulkan kepada kerajaan Persekutuan mengenai pembinaan tembok sepanjang kira-kira 100 kilometer di sempadan negeri itu dengan Thailand dan usaha ini dianggap penting bagi menangani masalah jenayah penyeludupan serta mengurangkan risiko banjir yang berulang.

STAY AHEAD OF THE CURVE

Join our community for instant updates and exclusive content.

Join Telegram Channel

Related


spot_img

Latest News

Venezuela earthquake rescue efforts hampered as death toll rises to 235

Buildings cracked, crumbled, and tilted precariously after the quakes,...

Most Viewed

spot_img
WC26

World Cup 2026

Updates, Fixtures, Results & Standings