the sun malaysia ipaper logo 150x150
Wednesday, June 24, 2026
22.6 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150

GISB: Penjaga rumah amal didakwa rotan kanak-kanak enam tahun

KUALA LUMPUR: Seorang penjaga rumah amal yang dikaitkan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Selayang di sini hari ini atas pertuduhan menganiaya seorang kanak-kanak lelaki di sebuah rumah amal berkenaan di Bandar Country Homes, Rawang.

Mohd Syahid Hanapiah, 35, didakwa sebagai seorang yang mempunyai pemeliharaan terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun, telah menganiaya mangsa dengan cara merotan kanak-kanak itu yang mungkin akan menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan.

Kesalahan didakwa dilakukan di premis berkenaan di Bandar Country Homes di Rawang pada waktu pagi Feb hingga Sept 2024.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Nurilya Ellyna Nor Azmal tidak menawarkan jaminan terhadap Mohd Syahid.

Bagaimanapun Nurilya Ellyna berkata sekiranya mahkamah mengguna pakai budi bicara, pihak pendakwaan mencadangkan jumlah jaminan RM20,000 dengan syarat tambahan tertuduh dilarang keras berjumpa dan mengganggu mangsa, melaporkan diri di balai polis dan boleh dihubungi pihak berkuasa pada bila-bila masa.

Mohd Syahid yang tidak diwakili peguam merayu jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan dia mempunyai masalah kewangan.

“Saya mohon supaya jaminan dikurangkan kerana ada masalah kerja dan keluarga,” katanya.

Hakim Lailatul Zuraida Harron @ Harun membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan seperti dimohon pihak pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 5 Nov ini untuk sebutan kes bagi lantikan peguam.

Sebelum ini media melaporkan pihak polis telah melancarkan Op Global awal bulan lepas dan telah menyerbu rumah amal di seluruh Semenanjung yang dikaitkan dengan GISBH kerana disyaki terlibat dalam kegiatan eksploitasi kanak-kanak serta agama.

Hasil serbuan seramai 572 mangsa berjaya diselamatkan, dan 359 pengikut GISBH termasuk pengurusan tertinggi syarikat tersebut ditahan.

STAY AHEAD OF THE CURVE

Join our community for instant updates and exclusive content.

Join Telegram Channel

Related


spot_img

Latest News

Senior living project partners AIA unit

Eden at Botanica CT, a nursing care residence and a low-density active living resort, has partnered with AIA Pension and Asset Management Sdn Bhd (APAM) to integrate retirement savings into its senior living development in Balik Pulau, with purchasers receiving a RM25,000 contribution into a Private Retirement Scheme (PRS) fund.

Most Viewed

spot_img
WC26

World Cup 2026

Updates, Fixtures, Results & Standings