the sun malaysia ipaper logo 150x150
Monday, January 12, 2026
23.7 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150
spot_img

Bantuan guaman untuk 5,000 ibu tunggal dalam Belanjawan 2026

KUCHING: Inisiatif Kerajaan MADANI dalam Belanjawan 2026 untuk membela nasib 5,000 ibu tunggal yang memerlukan bantuan guaman bagi menuntut nafkah anak di mahkamah adalah langkah penting dalam memperkukuh jaringan perlindungan sosial negara.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata bantuan guaman melalui Program KASIH Ibu Tunggal (KasihnITa) di bawah Jabatan Pembangunan Wanita memberi kelegaan kepada ramai ibu tunggal yang sebelum ini tidak mampu meneruskan tuntutan walaupun bekas suami telah diarahkan mahkamah untuk membayar nafkah.

Beliau menyatakan kerajaan akan memperuntukkan bantuan guaman kepada 5,000 ibu tunggal, termasuk bukan Islam, bagi memastikan mereka boleh menuntut hak di mahkamah.

“Program ini telah dimulakan sebagai projek rintis di Sarawak tahun ini, menjadikan negeri ini sebagai yang pertama melaksanakan inisiatif tersebut,” katanya.

Nancy menegaskan ramai ibu tunggal miskin tertekan kerana tidak mendapat nafkah untuk anak-anak.

“Bantuan ini bukan sahaja meringankan beban kewangan, tetapi juga memberi keadilan kepada mereka,” ujarnya kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Karnival Sejahtera MADANI di Institusi Aminuddin Baki.

Beliau menjelaskan pelaksanaan inisiatif itu dibuat dengan kerjasama peguam bertauliah menerusi Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), yang akan mewakili ibu tunggal berkenaan di mahkamah.

Kerjasama ini memastikan bekas suami yang ingkar perintah mahkamah boleh dikenakan tindakan sewajarnya.

Nancy menyifatkan Belanjawan 2026 lebih baik dan menyeluruh bagi golongan sasar, dengan peruntukan kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) meningkat kepada RM4.1 bilion berbanding RM3.9 bilion pada 2025.

Beliau berkata KPWKM akan turut menumpukan kepada pembangunan ekonomi penjagaan dengan memperluas latihan untuk melahirkan lebih ramai penjaga profesional di seluruh negara.

“Kita telah mula melatih pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat sejak tahun lalu dan sudah capai sasaran 300 penjaga bertauliah,” katanya.

Nancy menambah untuk tahun depan kementerian memohon untuk bekerjasama dengan institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk melahirkan lebih ramai penjaga profesional.

Beliau berkata langkah itu sejajar dengan keperluan semasa negara yang berdepan peningkatan populasi menua serta permintaan tinggi terhadap tenaga penjaga berkemahiran.

Permintaan tinggi ini melibatkan penjagaan warga emas, Orang Kurang Upaya dan kanak-kanak autistik.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membentangkan Belanjawan 2026 bertemakan ‘Belanjawan MADANI Keempat: Belanjawan Rakyat’ di Dewan Rakyat semalam. – Bernama

Related

spot_img

Latest

BN confident of retaining Kinabatangan and Lamag seats

Barisan Nasional is confident of retaining the Kinabatangan parliamentary and Lamag state seats in the upcoming by-elections, citing strong campaign support from Sabah's ruling coalition.

Gem Sri Lanka 2026 concludes successfully: platinum sponsor GUILD propels industry growth

From January 7 to 9, Gem Sri Lanka 2026 was successfully held at the Shangri-La Hotel in the heart of Colombo, the capital of Sri Lanka. Her Excellency Dr. Harini Amarasuriya, Prime Minister of Sri Lanka, attended the official opening ceremony as the distinguished guest.

Most Viewed

spot_img

Popular Categories