KUALA LUMPUR: Sembilan rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition dan Thousand Madleens to Gaza telah dibebaskan pada Jumaat.
Kementerian Luar mengesahkan kesemua mereka telah dipindahkan keluar dari Israel menaiki penerbangan Turkish Airlines TK6921.
Mereka tiba di Istanbul, Turkiye pada pukul 2.30 petang waktu tempatan atau 7.30 malam waktu Malaysia.
Kesemua mereka akan menjalani penilaian kesihatan dan perubatan di Istanbul sebelum pulang ke Malaysia dalam beberapa hari akan datang.
Kerajaan Malaysia merakamkan penghargaan mendalam kepada Kerajaan Turkiye dan rakan kerjasama lain atas bantuan penting tersebut.
Keselamatan dan kebajikan semua rakyat Malaysia kekal menjadi keutamaan tertinggi kerajaan Malaysia.
Misi kemanusiaan FFC dan TMTG melibatkan kira-kira 150 aktivis dari 25 negara menaiki sembilan kapal.
Kapal Conscience dan Umm Saad telah dipintas oleh tentera Israel pada Rabu ketika berada kurang daripada 120 batu nautika dari Gaza.
Lapan rakyat Malaysia berada di atas kapal Conscience termasuk ketua delegasi Prof Emeritus Dr Mohd Alauddin Mohd Ali.
Mereka turut terdiri daripada Dr Fauziah Mohd Hassan, Dr Hafiz Sulaiman, Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi, Prof Dr Mohd Afandi Salleh, Dr Noorhasyimah Ismail, Norsham Abu Bakar dan wartawan Astro Awani Syafik Shukri Abdul Jalil.
Seorang lagi doktor perubatan Malaysia, Dr Maziah Muhammad, berada di atas kapal Umm Saad. – Bernama









