KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah hari ini menahan seorang penolong pegawai perubatan dan empat jururawat bagi membantu siasatan mengemukakan tuntutan palsu bernilai kira-kira RM146,000.
Menurut sumber, kesemuanya terdiri daripada seorang lelaki dan empat wanita berusia 30-an dipercayai mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu melibatkan tuntutan kerja lebih masa dari 2020 hingga 2021, sedangkan perkara berkenaan tidak dilaksanakan.
“Mereka ditahan kira-kira 9.40 pagi ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Sabah,” kata sumber itu.
Pengarah SPRM Sabah Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Beliau berkata kelima-lima individu itu telah dibebaskan dengan jaminan SPRM dan akan dituduh di Mahkamah Sesyen di sini Khamis ini.









