Kerajaan cadang sambutan Hari Muzik Negara untuk beri pengiktirafan kepada penggiat muzik dan bantu isu royalti serta pekerjaan
PUTRAJAYA: Penggiat muzik wajar diberikan pengiktirafan melalui penganjuran Hari Muzik Negara sebagai menghargai sumbangan mereka terhadap pembangunan industri kreatif tanah air.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata sambutan Hari Muzik Negara juga diharap dapat membela penggiat muzik dalam isu royalti, peluang pekerjaan serta membawa muzik dan harta intelek tempatan ke peringkat antarabangsa.
Beliau menyatakan hasrat kerajaan untuk menjadikan industri atau ekonomi kreatif sebagai salah satu pemacu pertumbuhan ekonomi dalam negara.
“Kita cadangkan kepada Jemaah Menteri mewujudkan satu Hari Muzik Negara dengan hasrat memberi pengiktirafan kepada semua bukan hanya mereka di atas pentas tapi juga di belakang tabir,” katanya kepada Bernama dan RTM selepas perhimpunan bulanan Kementerian Komunikasi.
Fahmi berkata keputusan muktamad mengenai cadangan penganjuran Hari Muzik Negara akan ditentukan Jemaah Menteri susulan kajian industri muzik yang telah disiapkan bersama MyCreative Ventures.
Beliau menjangkakan perbincangan mendalam mengenai hasil kajian industri muzik akan diadakan dalam beberapa bulan akan datang.
Semalam, Fahmi berkata Kementerian Komunikasi berhasrat mengemukakan cadangan kepada Jemaah Menteri untuk mewujudkan Hari Muzik Negara sebagai sambutan peringkat nasional.
Beliau turut berkata melalui kajian tersebut, Kementerian Komunikasi bersama MyCreative Ventures mendapati beberapa isu perlu diteliti melibatkan industri muzik khususnya mewujudkan satu akta khusus bagi melindungi industri berkenaan. – Bernama










