SHAH ALAM: Komitmen kerajaan mewujudkan persekitaran kerja yang selamat, sihat, kondusif dan produktif mampu diterjemah melalui penguatkuasaan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP) (Pindaan) 2022 yang dijadual bermula 1 Jun depan, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia (Kesuma) Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.
Beliau berkata pewartaan ke atas perundangan melibatkan akta, peraturan dan garis panduan itu bertepatan dengan perkembangan semasa ekonomi negara susulan kewujudan sektor-sektor pekerjaan baharu yang mendedahkan pekerja kepada pelbagai risiko keselamatan dan kesihatan pekerjaan.
“Antara perubahan ketara di dalam Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2022 itu adalah peningkatan penalti 10 kali ganda daripada yang sedia ada, iaitu maksimum penalti dinaikkan daripada RM50,000 kepada RM500,000.
Dengan peningkatan kadar penalti untuk setiap pelanggaran di bawah akta ini, ia secara tidak langsung memastikan isu keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja akan diberi perhatian oleh majikan dengan menjadikan tempat kerja bebas daripada kemalangan dan penyakit pekerjaan,” katanya dalam ucapan perasmian Seminar Hebahan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2022 dan Akta Kilang dan Jentera (Pemansuhan) 2022 Peringkat Zon Tengah di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Antarabangsa) Kesuma Datuk Norison Ramli.
Pada April lepas, Menteri Kesuma Steven Sim Chee Keong dilaporkan berkata beliau telah menandatangani warta untuk mempercepatkan pelaksanaan dan penguatkuasaan akta berkenaan yang tertangguh hampir dua tahun di mana antara lain mewajibkan majikan menganalisis risiko di tempat kerja dan melantik penyelaras keselamatan kesihatan bagi syarikat yang mempunyai lima pekerja dan ke atas.
AKKP (pindaan) 2022 itu telah diluluskan oleh Parlimen pada 16 Mac 2022.
Dalam pada itu, Abdul Rahman berkata budaya kerja selamat dan sihat akan mendokong usaha yang dilaksanakan kerajaan dalam meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan negara, seterusnya membantu mengurangkan kadar kecederaan pekerjaan serta meningkatkan kesedaran kepentingan kawalan terhadap penyakit pekerjaan.
“Pewujudan lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti seiring dengan perkembangan ekonomi negara memerlukan pengurusan risiko yang berkesan dan dalam hal ini, pindaan ke atas akta tersebut telah memasukkan peruntukan khusus berkaitan pengurusan risiko di tempat kerja,” katanya.









