the sun malaysia ipaper logo 150x150
Sunday, June 21, 2026
22.1 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Penggunaan bahasa Cina, Tamil sebagai bahasa pengantar di sekolah vernakular, berperlembagaan

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini hari ini menolak rayuan yang dikemukakan empat pertubuhan, memohon pengisytiharan bahawa kewujudan dan penubuhan sekolah vernakular serta penggunaan bahasa Cina dan Tamil di sekolah berkenaan adalah tidak berperlembagaan.

Empat pertubuhan itu ialah Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (Mappim), Gabungan Persatuan Penulis Malaysia (Gapena), Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) dan Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (I-Guru).

Keputusan itu disampaikan panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Supang Lian, Datuk M. Gunalan dan Datuk Azizul Azmi Adnan, hari ini.

Hakim Azizul, yang menyampaikan keputusan sebulat suara mahkamah, berkata sekolah jenis kebangsaan atau sekolah vernakular bukanlah pihak berkuasa awam dan oleh itu penggunaan bahasa Cina atau Tamil sebagai bahasa pengantar untuk pengajaran di sekolah berkenaan tidak dilarang.

Beliau berkata Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah membuat keputusan dengan betul bahawa penggunaan bahasa Cina atau Tamil di sekolah jenis kebangsaan atau sekolah vernakular sebagai bahasa pengantar adalah dilindungi oleh peruntukan Perkara 152(1)(b) Perlembagaan Persekutuan.

“Kami berpandangan bahawa sesebuah sekolah bukan pihak berkuasa berkanun atau pihak berkuasa awam dan penggunaan bahasa selain bahasa Melayu di sekolah jenis kebangsaan sebagai bahasa pengantar bukanlah untuk tujuan rasmi,“ kata Hakim Azizul.

Beliau berkata pembinaan konteks peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang berkaitan tidak menyokong hujah perayu bahawa peruntukan Akta Pendidikan 1996 yang memperuntukkan penubuhan dan penyelenggaraan sekolah yang menggunakan bahasa Cina dan Tamil sebagai bahasa pengantar adalah tidak konsisten dengan Perkara 152(1)(a) Perlembagaan Persekutuan.

“Perkara 152 (1) (b) Perlembagaan Persekutuan mempunyai kesan fasal “datuk atau warisan” penggunaan bahasa lain pada masa pengisytiharan Merdeka,“ katanya sambil menambah tiada apa-apa dalam peruntukan itu yang mengehadkan hak kerajaan untuk memelihara penggunaan bahasa lain di sekolah tersebut dan mengambil langkah untuk mengekalkan pengunaannya.

Beliau berkata hak kerajaan untuk memelihara dan mengekalkan penggunaan bahasa lain di sekolah jenis kebangsaan atau sekolah vernakular mengatasi proviso dalam Perkara 152 (1) (a) yang menyatakan bahawa bahasa Melayu hendaklah menjadi bahasa yang digunakan untuk tujuan rasmi.

“Tidak boleh dihujahkan bahawa penggubal Perlembagaan berhasrat sekolah yang menggunakan bahasa selain bahasa Melayu atau Inggeris sebagai bahasa pengantar adalah menyalahi undang-undang dan bertentangan dengan syarat Perlembagaan, kerana jika ini berlaku sekolah tersebut akan ditutup, dimansuhkan atau ditukar selepas menerima pakai Perlembagaan Persekutuan,“ kata Hakim Azizul.

Sementara itu, panel berkenaan membenarkan rayuan silang yang dikemukakan oleh wakil kumpulan pendidik Cina, Dong Zong dan Jiao Zong untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Bharu bahawa sekolah vernakular adalah “pihak berkuasa awam”.

Pada 29 Dis 2021, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali (kini Hakim Mahkamah Rayuan) menolak saman yang dikemukakan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Mappim, Gapena dan Isma.

Bagaimanapun, GPMS tidak memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan.

Pada 29 Mei tahun lepas, Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Kota Bahru Abazafree Mohd Abbas (kini Hakim Mahkamah Tinggi) juga memutuskan bahawa kewujudan sekolah vernakular adalah berperlembagaan dan menolak saman yang difailkan I-Guru.

Dalam saman mereka, empat pertubuhan itu mahu mahkamah mengisytiharkan tiga seksyen dalam Akta Pendidikan 1996 yang membenarkan sekolah Cina dan Tamil mengajar dalam bahasa berkenaan tidak konsisten dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

Mereka juga memohon perisytiharan bahawa penubuhan dan kewujudan sekolah vernakular melanggar Perkara 5 (kebebasan diri), 8 (kesamarataan), 10 (kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan), 11 (kebebasan beragama) dan 12 (hak dalam pendidikan) Perlembagaan Persekutuan.

Dalam saman yang difailkan pada Disember 2019, GPMS, Mappim dan Gapena serta Isma menyaman beberapa pihak termasuk kerajaan dan 13 defendan lain. Antaranya ialah Dong Zong dan Jiao Zong, Persatuan Thamizhar Malaysia, Persatuan Tamilar Thurunal (Perak) dan empat parti politik – MIC, MCA, Gerakan dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia.

Bagi I-Guru pula, pertubuhan itu menyaman Menteri Pendidikan, kerajaan Malaysia, memohon perisytiharan bahawa Seksyen 28 dan Seksyen 17 Akta Pendidikan 1996 tidak konsisten dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan ia adalah tidak sah dan tidak mempunyai kesan.

Majlis Bahasa Cina, Persatuan Bahasa Tamil dan Gabungan Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Tamil, MCA dan Persatuan Jawatankuasa Sekolah Cina Bersatu Malaysia (Dong Zong) dibenarkan sebagai pencelah dalam saman yang difailkan I-Guru.

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdullah mewakili Mappim dan Gapena, manakala peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz bagi pihak Isma dan peguam Ramesh NP Chandran mewakili I-Guru manakala pasukan Jabatan Peguam Negara diketuai Peguam Kanan Persekutuan Liew Horng Bin mewakili Menteri Pendidikan dan Kerajaan Malaysia. -Bernama

STAY AHEAD OF THE CURVE

Join our community for instant updates and exclusive content.

Join Telegram Channel

Related


spot_img

Latest News

Kiatisuk Senamuang’s legacy lives On as Asean Hyundai Cup celebrates 30 years

SINGAPORE, June 18: Few figures have left a greater mark on the ASEAN Championship, now known as the ASEAN Hyundai Cup™ 2026, than Thailand legend Kiatisuk Senamuang.Known affectionately as “Zico”, the former striker has played a central role in five of Thailand’s record seven regional titles, first as a player and later as a coach, cementing his place among Southeast Asian football’s all-time greats.Kiatisuk announced himself on the regional stage in the inaugural tournament in 1996 when, at just 23, he scored the decisive goal against Malaysia in the final before celebrating with his trademark backflip.His thunderous strike past Malaysian goalkeeper Khairul Azman Mohamed remains one of the most iconic moments in the competition’s history.Former Thailand team manager Thawatchai Sajakul, who oversaw the side during that maiden triumph, described Kiatisuk as the country’s greatest modern-era footballer.“He is the best player Thailand has produced in the modern era,” said Thawatchai.

Most Viewed

spot_img
WC26

World Cup 2026

Updates, Fixtures, Results & Standings