the sun malaysia ipaper logo 150x150
Sunday, June 28, 2026
28.5 C
Kuala Lumpur
the sun malaysia ipaper logo 150x150

PM Srettha umum rancangan jadikan Thailand peneraju teknologi bernilai tinggi

BANGKOK: Perdana Menteri Srettha Thavisin (gambar) komited untuk mengubah Thailand menjadi ekonomi berteraskan teknologi dan inovasi bernilai tinggi. Pada masa ini, hasil pengeluaran Thailand terutamanya terdiri daripada komoditi dengan keuntungan rendah dan produk-produk pertanian utama.

Srettha, yang juga Menteri Kewangan berkata negara itu perlu mengintegrasikan teknologi untuk meningkatkan produktiviti keseluruhan, terutamanya bagi pengeluaran produk dan perkhidmatan bernilai tinggi.

Beliau berkata kerajaan berhasrat untuk menggalakkan kenderaan elektrik (EV), elektronik pintar, robot dan automasi, perubatan dan kesihatan serta industri makanan diproses sebagai industri generasi akan datang (S-curve).

“Dalam industri EV, kerajaan akan mewujudkan rantaian bekalan EV yang komprehensif yang merangkumi kereta elektrik, basikal elektrik, bas elektrik, bahagian dan komponen.

“Kerajaan akan melaksanakan langkah-langkah untuk menambah baik persekitaran perniagaan untuk menarik pelabur, memberi keistimewaan dalam zon bebas ekonomi khas, mewujudkan pusat ujian bateri, merancang sukatan kursus akademik untuk tenaga mahir dan meluaskan infrastruktur untuk stesen pengecas,“ katanya.

“Matlamatnya adalah untuk menjadikan Thailand sebagai hab pembuatan EV dengan rantaian bekalan komprehensif di ASEAN,” katanya.

Srettha menyampaikan ucaptama mengenai “Reformation of Thai Economy Amidst Polycrisis” pada Majlis Makan Malam Gala Foreign Industrial Club yang dianjurkan oleh Persekutuan Perindustrian Thai (FTI) pada Rabu malam.

Srettha berkata Thailand bercadang untuk meningkatkan pengeluaran makanan dan produk pertanian dengan memanfaatkan inovasi dan teknologi bagi memastikan keselamatan makanan dan meningkatkan nilai eksport makanan negara itu.

“Ini termasuk penilaian tanah yang komprehensif, pengurusan air dan pertanian tepat. Sasaran kerajaan adalah untuk meningkatkan pendapatan petani Thailand sebanyak tiga kali ganda dalam empat tahun akan datang,” katanya.

Perdana Menteri berkata Thailand menghadapi perubahan cepat yang boleh dipanggil polikrisis (polycrisis) iaitu ekonomi yang tidak stabil, pandemik global, kemajuan teknologi, persaingan antarabangsa, perubahan orde global dan perubahan iklim.

“Oleh itu, Thailand perlu menjadi bukti masa depan untuk berkembang dalam ekonomi global yang semakin kompetitif dan konflik antarabangsa, perubahan tatanan global dan krisis iklim yang merupakan satu daripada ancaman yang paling mendesak yang memerlukan tindakan segera untuk mengurangkan kesannya terhadap manusia.

“Tugas yang paling mendesak kerajaan ini adalah mengembalikan ekonomi ke landasan yang betul dan menyiapkan Thailand untuk kejayaan jangka panjang dengan mengurangkan kos sara hidup, menggalakkan perbelanjaan domestik, meningkatkan kualiti hidup rakyat, mewujudkan peluang untuk rakyat Thailand dan meluaskan pelaburan dan perniagaan,“ katanya.

Sementara itu, Srettha berkata kerajaan juga menggunakan langkah jangka sederhana dan panjang melalui rancangan seperti menggunakan diplomasi ekonomi proaktif untuk membuka pintu kepada pasaran baharu bagi produk dan perkhidmatan Thailand serta pembangunan lanjut zon ekonomi khas dan koridor ekonomi di semua empat wilayah negara.

Selain itu, katanya, Thailand juga akan meningkatkan kemudahan menjalankan perniagaan dan menambah baik pakej insentif untuk menarik pelaburan asing.

“Thailand akan mempromosikan perkembangan dan industri ekonomi baharu seperti ekonomi digital, industri berteknologi tinggi, industri hijau dan industri keselamatan negara; menambah baik infrastruktur seperti lapangan terbang untuk memudahkan perdagangan antarabangsa dan pelancongan berkembang.

“Satu lagi projek menarik dalam perancangan adalah projek jambatan yang akan menghubungkan Laut Andaman ke Teluk Thailand, mengurangkan masa perjalanan melalui Selat Melaka dan meningkatkan daya saing logistik Thailand, ” katanya. -Bernama

STAY AHEAD OF THE CURVE

Join our community for instant updates and exclusive content.

Join Telegram Channel

Related


spot_img

Latest News

Cyber resilience defined by integration, not spend

Higher cybersecurity spending alone is not enough to strengthen Malaysia’s cyber resilience, as fragmented technology environments, the rapid pace of digitalisation, and a shortage of specialised talent continue to limit organisations’ cybersecurity maturity, according to US-based cybersecurity company Palo Alto Networks.

Akmal backs France, Brazil, Portugal for World Cup glory

Akmal believes the trio possess the quality, depth and balance needed to go all the way with France remain among the strongest contenders due to the abundance of attacking options available to the squad.

Most Viewed

spot_img
WC26

World Cup 2026

Updates, Fixtures, Results & Standings