the sun malaysia ipaper logo 150x150
Thursday, June 25, 2026
21.6 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Jokowi berlepas ke China untuk bertemu Xi, hadiri perasmian Sukan Universiti Dunia FISU

JAKARTA: Presiden Indonesia Joko Widodo (gambar) berlepas ke Chengdu, China untuk bertemu rakan sejawatannya Xi Jinping dan menghadiri majlis perasmian Sukan Universiti Dunia FISU.

Beliau ditemani isterinya Iriana untuk lawatan kerja tiga hari itu.

Lawatan itu atas undangan Xi sempena memperingati hubungan 10 tahun perkongsian strategik komprehensif antara kedua-dua negara.

Agenda utama ialah meningkatkan perdagangan, pelaburan dan peranan kedua-dua negara di rantau ini dan global, kata Joko Widodo yang lebih dikenali sebagai Jokowi, dalam satu kenyataan media sebelum berlepas.

“Saya akan membincangkan beberapa agenda yang menjadi keutamaan dengan Presiden Xi, termasuk dalam pelaburan dan pelbagai projek strategik, perdagangan, kesihatan, serantau dan global Indonesia dan China,“ katanya.

China ialah rakan kongsi perdagangan dan pelaburan terbesar Indonesia, dengan projek kereta api berkelajuan tinggi Jakarta-Bandung yang sedang berjalan, merupakan antara perkongsian strategik mereka dalam rangka kerja Paksi Maritim Global Indonesia dan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) China.

Jokowi dijadual bertemu beberapa ketua pegawai eksekutif China dan akan menjemput mereka untuk melabur dalam industri hiliran, petrokimia, tenaga boleh baharu dan sektor kesihatan.

Beliau juga akan meluangkan masa bersama Xi pada majlis perasmian edisi musim panas ke-31 Sukan Universiti Dunia FISU di Chengdu bagi menyokong kontinjen Indonesia.

Pemimpin lain yang akan menghadiri temasya itu termasuk Presiden Mauritania Mohamed Ould Cheikh Ghazouani, Presiden Burundi Evariste Ndayishimiye, Presiden Guyana Irfaan Ali, Perdana Menteri Georgia Irakli Garibashvili dan Perdana Menteri Fiji Sitiveni Rabuka. –Bernama

STAY AHEAD OF THE CURVE

Join our community for instant updates and exclusive content.

Join Telegram Channel

Related


spot_img

Latest News

Most Viewed

spot_img
WC26

World Cup 2026

Updates, Fixtures, Results & Standings