Sepasang suami isteri berusia 60-an maut selepas motosikal mereka terbabit kemalangan dengan tiga kenderaan di Lebuhraya Seremban-PD.
SEREMBAN: Sepasang suami isteri maut selepas motosikal yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan tiga kenderaan lain di Kilometer 11.5 Lebuhraya Seremban-Port Dickson malam tadi.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson Pegawai Bomba Kanan II Mohd Khalid Dollah mengesahkan kejadian berlaku pada pukul 8.52 malam.
Mangsa berusia 65 dan 67 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.
Kemalangan itu melibatkan motosikal jenis Honda ADV 350 yang dinaiki kedua-dua mangsa bersama tiga kenderaan lain.
Kenderaan terlibat termasuk sebuah Toyota Wish, Nissan Vanette dan Proton Perdana.
Dua lelaki warga Indonesia berusia lingkungan 20-an yang menaiki Toyota Wish mengalami cedera ringan.
Mereka telah dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Pemandu Proton Perdana dan Nissan Vanette tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian tersebut.
Mayat kedua-dua mangsa kemudian dibawa ke Hospital Rembau untuk proses bedah siasat. – Bernama
BACA: Wanita maut, anak cedera parah dilanggar SUV di George Town










