the sun malaysia ipaper logo 150x150
Thursday, June 25, 2026
23.6 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Presiden Singapura diberi sambutan negara di Istana Negara

KUALA LUMPUR: Presiden Singapura Halimah Yacob diberi sambutan negara di Istana Negara sempena lawatan negara sulungnya ke Malaysia selama tiga hari bermula semalam.

Ketibaan beliau dan suami, Mohamed Abdullah Alhabshee pada pukul 11 pagi disambut Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta menteri-menteri kabinet.

Istiadat sambutan di padang kawad itu dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan Singapura dan Malaysia oleh Pancaragam Pusat Tentera Udara Diraja Malaysia, disusuli tembakan meriam 21 das.

Presiden Singapura itu kemudian memeriksa kawalan kehormat membabitkan empat pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat daripada Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja Kem Wardieburn Setapak, Kuala Lumpur diketuai Mejar Mohd Fadjrin bin Masor@Mansor.

Halimah bersama Al-Sultan Abdullah kemudiannya menanam Pokok Gelam (Melaleuca cajuputi) di halaman Istana dengan disaksikan Mohamed Abdullah, Tunku Azizah, Anwar dan Dr Wan Azizah.

Presiden Singapura itu juga diraikan dan diberi penghormatan di Majlis Jamuan Negara yang turut menyaksikan keberangkatan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong ke majlis itu.

Kunjungan beliau itu sebagai lawatan balas selepas menerima undangan Yang di-Pertuan Agong yang mengunjungi Singapura pada Oktober lepas.

Menurut kenyataan Wisma Putra, lawatan itu akan mengukuhkan lagi hubungan baik dan kerjasama pelbagai bidang antara kedua-dua negara.

Singapura ialah rakan dagangan kedua terbesar Malaysia dan terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN pada 2022 dengan jumlah perdagangan berjumlah RM367.53 bilion (US$83.53 bilion), peningkatan sebanyak 29.4 peratus berbanding jumlah dagangan pada 2021. –Bernama

STAY AHEAD OF THE CURVE

Join our community for instant updates and exclusive content.

Join Telegram Channel

Related


spot_img

Latest News

Most Viewed

spot_img
WC26

World Cup 2026

Updates, Fixtures, Results & Standings