the sun malaysia ipaper logo 150x150
Thursday, June 25, 2026
23.6 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Kertas siasatan kanak-kanak enam tahun pandu kereta hampir siap

ALOR SETAR: Kertas siasatan berhubung kejadian kanak-kanak lelaki berusia enam tahun memandu kereta milik keluarganya sebelum terbabit dalam kemalangan di Jalan Kampung Bukit Tangga, Langkawi, Selasa lepas, hampir siap.

Ketua Polis Daerah Langkawi ACP Shariman Ashari (gambar) berkata kertas siasatan itu akan dirujuk kepada Pengarah Pendakwaan Negeri sebaik polis menerima laporan perubatan daripada pihak hospital.

“Setakat ini, polis telah merakam keterangan ibu dan bapa kanak-kanak berkenaan. Selain itu, polis juga telah merakam keterangan lima individu lain iaitu tiga saksi di tempat kejadian, seorang anggota polis yang tiba di tempat kejadian dan datuk kepada kanak-kanak itu.

“Kanak-kanak itu juga akan dirujuk ke Pusat Temuduga Kanak-Kanak di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah untuk mendapatkan keterangan menyeluruh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Shariman menolak dakwaan berhubung satu video tular menerusi media sosial yang mendakwa kanak-kanak itu berlatih menggunakan simulator kereta di rumahnya.

“Siasatan polis mendapati tidak ada simulator di rumah kanak-kanak itu dan video dan gambar yang tular itu bukanlah kanak-kanak yang memandu kereta jenis Toyota Vios yang terlibat dalam kemalangan,” katanya.

Beliau berkata hasil siasatan, kanak-kanak itu mendakwa bahawa dia tahu cara membawa kereta dengan melayari laman YouTube selain mengamati cara pemanduan bapanya.

Selasa lepas, media melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun di Langkawi dikesan memandu Toyota Vios sejauh kira-kira 2.5 kilometer sebelum melanggar tiang lampu dan menyebabkan kanak-kanak itu luka di bahagian dagu manakala adik lelakinya yang berusia tiga tahun yang turut menaiki kenderaan itu tidak mengalami sebarang kecederaan. –Bernama

STAY AHEAD OF THE CURVE

Join our community for instant updates and exclusive content.

Join Telegram Channel

Related


spot_img

Latest News

Most Viewed

spot_img
WC26

World Cup 2026

Updates, Fixtures, Results & Standings