the sun malaysia ipaper logo 150x150
Thursday, June 25, 2026
23.6 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Zahid: Semua pihak perlu bergerak ke hadapan, fokus pembangunan negara

KUALA LUMPUR: Usul Undi Percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang diluluskan Dewan Rakyat hari ini, merupakan manifestasi buat semua pihak termasuk kerajaan dan pembangkang, untuk bergerak ke hadapan dan memberi seluruh tumpuan membangunkan negara.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata kejayaan usul itu dengan lebih suara bersetuju, menunjukkan lunas demokrasi apabila rakyat melalui wakil rakyat mereka di Dewan Rakyat telah memberikan mandat yang jelas kepada Kerajaan Perpaduan.

“Alhamdulillah, maka kini sudah jelas lagi tuntas akan keabsahan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan Kerajaan Perpaduan,” katanya dalam perkongsian di Facebook semalam.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata kestabilan politik amat penting agar rakyat negara ini dapat bekerjasama dengan Kerajaan Perpaduan, untuk membina negara ke arah yang lebih baik.

Beliau berkata rakyat hari ini mendambakan kerajaan yang bekerja dan berfungsi untuk kesejahteraan dan kemakmuran negara dan oleh itu, isu ekonomi dan kos sara hidup rakyat akan menjadi fokus utama bagi Kerajaan Perpaduan.

Ahmad Zahid berkata pelbagai cabaran dalam urusan ekonomi dan kewangan negara pada tahun mendatang, memerlukan sokongan semua pihak dalam memastikan kelangsungan kehidupan rakyat.

“Perancangan dan pelaksanaan dasar serta polisi yang mampan, akan menghasilkan sebuah negara lebih maju dan sejahtera,” kata beliau.

Dalam perkongsian sama, Ahmad Zahid turut menzahirkan penghargaan buat bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun, atas perkhidmatan beliau selama ini serta mengucapkan tahniah dan selamat bertugas kepada Datuk Johari Abdul yang menggantikannya.

Johari yang dicadangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) mewakili kerajaan, mendapat undian 147 undi berbanding bekas Menteri Dalam Negeri Tan Sri Mohd Radzi Sheikh Ahmad yang mendapat 74 undi. – Bernama

STAY AHEAD OF THE CURVE

Join our community for instant updates and exclusive content.

Join Telegram Channel

Related


spot_img

Latest News

Most Viewed

spot_img
WC26

World Cup 2026

Updates, Fixtures, Results & Standings